PETALING JAYA: Kedua-dua juruterbang pesawat N28JV yang terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina, Seksyen U16, Shah Alam adalah juruterbang yang cekap dan berpengalaman luas.
Kedua-dua mereka pernah berkhidmat dengan syarikat penerbangan di luar negara sebelum menyertai Jet Valet Sdn. Bhd. selepas diberhentikan ketika pandemik Covid-19.
Juruterbang, Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai juruterbang dengan Malaysia Airlines dan Etihad Airways.
Pembantu juruterbang, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, 43, pula pernah berkhidmat selama tiga tahun empat bulan dengan AirAsia serta selama sembilan tahun 10 bulan dengan Vietnam Airlines.
MENGENALI
Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud mengesahkan kedua-dua kru pesawat itu merupakan seorang yang berpengalaman luas kerana beliau sendiri mengenali juruterbang berkenaan.
Beliau juga mengesahkan juruterbang tersebut mempunyai lesen penerbangan yang sah dan berdaftar.
Abang ipar Shahrul Kamal, Syed Tahir Syed Mohamed, 39, pula percaya nahas itu berpunca daripada kegagalan enjin atau mekanikal pesawat dan bukan kerana kesilapan manusia.
Katanya, Shahrul seolah-olah mengetahui nasib yang akan menimpanya apabila memberikan nombor telefon isteri kepada rakannya pada minggu lalu.
“Perkara itu adalah sesuatu luar jangkaan dengan andaian rakan tersebut akan menghubungi ahli keluarganya sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada arwah,’’ katanya ketika ditemui semalam.
COMEL
Syed Tahir berkata, bapa kepada empat anak itu juga dikenali sebagai comel dalam kalangan juruterbang dan sangat cekap dalam pengendalian pesawat.
Dalam pada itu, pelakon, Remy Ishak memberitahu, beliau baru berjumpa dengan Shahrul Kamal dan keluarganya di sebuah restoran pada Selasa lalu dan sempat merakam beberapa gambar bersama.
“Takziah buat Shefa (isteri Shahrul Kamal) dan keluarga atas pemergian Kapten Shahrul Kama,” tulisnya di Instagram.
Sementara itu, bapa Heikal Aras, Abdul Azim Aras, 76, berkata, arwah adalah anak kedua daripada lima beradik.
Shahrul Kamal dan Heikal Aras antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat yang menyayat hati pada petang kelmarin.
Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan. – UTUSAN










