PUTRAJAYA: Kerajaan perlu menonjolkan rakyat Malaysia berbilang etnik dan mempunyai warisan budaya berwarna-warni, tetapi mendukung identiti yang diberikan Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, konsep Malaysia sebagai negara berbilang bangsa pastinya tidak berlaku jika dilihat dari sudut kewarganegaraan.
Ini kerana, kata Profesor Madya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, bangsa (nation) itu ialah nationality (kebangsaan) yang juga bermaksud kewarganegaraan (citizenship).
“Tidak mungkin warganegara Malaysia terdiri daripada pelbagai warganegara (bangsa) lain kerana Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan konsep dwi-kewarganegaraan.
“Hal ini berbeza dengan kepelbagaian etnik dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya di sini semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa usaha kerajaan mempromosi Malaysia sebagai negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, disifatkan sebagai cubaan terdesak bekas Perdana Menteri itu untuk kekal relevan.
Sebelum ini, Dr. Mahathir mendakwa tindakan mempromosi Malaysia sebagai negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menekankan ‘kemelayuan Malaysia’.
Wan Ahmad Fauzi berkata, penonjolan aspek berbilang etnik sewajarnya dibatasi sehingga tidak membayangi identiti Malaysia daripada aspek Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri, bahasa kebangsaan, warisan budaya Melayu dan nilai moral tempatan.
Jelasnya, kepelbagaian itu sebaik-baiknya menonjolkan warisan budaya anak negeri Sabah dan Sarawak, selain budaya kumpulan etnik lain yang sudah menerima nilai tempatan yang tidak lagi menonjolkan budaya bangsa asing.
Beliau berkata, kebersamaan identiti amat penting dalam memupuk rasa cinta terhadap negara sendiri.
“Usaha mempromosikan kepelbagaian yang tiada sempadan serta keterlaluan sebaliknya boleh menggagalkan pembinaan jati diri bangsa Malaysia berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan.
“Lantaran konsep Malaysia Madani penting difahami dalam kerangka Perlembagaan agar tidak disalah tanggapi,” katanya.
Justeru, beliau menggesa semua pihak menginsafi bahawa dalam aspek budaya, bahasa dan sastera yang disampaikan kesemuanya memberikan pengaruh ke atas pemikiran serta mempunyai kaitan dengan pembinaan jati diri seseorang itu. –UTUSAN










