PRN: 2,140 borang pencalonan dijual SPR - Utusan Malaysia

PRN: 2,140 borang pencalonan dijual SPR

Daftar pemilih tambahan November 2023 diwarta hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,140 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) meliputi enam negeri dijual Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menje­lang hari penamaan calon hari ini.

Jumlah itu termasuk penjualan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu yang diadakan se­rentak pada 12 Ogos ini.

Mengikut statistik diperoleh Utusan Malaysia daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah borang tertinggi dijual adalah di Selangor iaitu seba­nyak 656 borang, diikuti Kelantan (649) dan Pulau Pinang (254).

Selain itu, Kedah merekodkan penjualan borang pencalonan sebanyak 207 borang, Ne­geri Sembilan (178); Terengganu (166) dan Ibu Pejabat SPR di Putrajaya (30).

Kelmarin, SPR mengingatkan semua bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon bermula pukul 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi kepada Pegawai Pengurus di 173 Pusat Penamaan Calon (PPC).

Setiap bakal calon hanya boleh diiringi oleh seorang pencadang calon dan penyokong calon untuk masuk ke pusat penamaan calon.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan.

KEMPEN

Ini termasuk bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasi­ngan yang diwakilinya.

“SPR menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan de­ngan baik dan lancar,” katanya.
Pada masa sama, semua pihak yang menghadiri hari penamaan calon dinasihat me­ngikuti peraturan ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara adalah tidak dibenarkan termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan untuk tujuan berkenaan adalah dilarang.

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang me­ngiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×