PETALING JAYA: Gaji minimum RM1,800 dengan kenaikan gaji tahunan RM180 adalah antara cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kepada kerajaan yang berhasrat untuk mengkaji semula skim gaji penjawat awam.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, selain itu, pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan elaun bandar raya sebanyak RM500 di samping menambah Imbuhan Tetap Perumahan kepada RM450 berbanding RM300 pada masa ini.
Selain itu, kata beliau, sudah tiba masanya elaun Sara Hidup (Cola) dalam kalangan 1.6 juta penjawat awam ditingkatkan agar mereka dapat menjalani kehidupan dalam keadaan selesa ekoran kenaikan kos sara hidup masa ini.
LIMA TAHUN
“CUEPACS juga mencadangkan kerajaan agar sistem saraan sektor awam dikaji setiap lima tahun,’’ katanya ketika dihubungi semalam.
Adnan menambah, cadangan lain ialah peningkatan gred untuk skim perkhidmatan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Kewangan ke gred 29 dan kenaikan Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua lapan tahun serta cadangan gred minimum Gred 19.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam dan akan dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan.
Beliau berkata, keputusan untuk mengkaji semula skim gaji berkenaan dibuat berikutan tiada kenaikan diberikan bagi tempoh yang agak lama, dengan kali terakhir skim gaji berkenaan disemak adalah pada tahun 2013.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta (Pejasma), Datuk Azih Muda berkata, sudah 21 tahun struktur gaji dan elaun kakitangan awam tidak ditambah baik menyebabkan soal kebajikan mereka masih pada takuk lama.
Katanya, keadaan itu juga memberi kesan kepada lebih satu juta pesara kerajaan apabila sistem saraan tidak pernah berubah dan tidak bergerak seiring dengan perkembangan taraf kehidupan rakyat.
“Cadangan kajian menaikkan gaji penjawat berbeza dengan semakan semula sistem saraan kerana jika naik gaji tidak memberi kesan untuk pesara kerajaan, jadi sistem saraan perlu dirombak dengan untuk memberi peningkatan semua peringkat,” katanya. – UTUSAN










