KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Altimet akan menggunakan pengalamannya sebagai anak seni untuk memperjuangkan misi dan visi sebagai calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam politik meskipun sedar ia berbeza dengan dunia seni yang menjadi darah dagingnya selama ini.
“Alhamdulillah, saya rasa terharu dan bersyukur sangat dapat satu peluang ini. Bagi saya, apa sahaja yang kita lakukan tentunya akan ada cabaran. Semua ini pun berlaku dengan izin Allah SWT.
“Tentang kedudukan sebagai artis, itu dulu. Tetapi tak dinafikan, pengalaman dalam kerjaya seni juga akan saya gunakan untuk perjuangan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Altimet merupakan satu-satunya selebriti yang ditampilkan PKR yang membariskan calon 58 pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Altimet yang menyandang jawatan Ketua Cabang PKR Ampang turut yakin dapat meraih undi di kalangan semua lapisan masyarakat di Lembah Jaya.
“Kita serah pada pengundi-pengundi. Baik golongan muda dan dewasa. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan yang penting, semua lapisan umur dan masyarakat lebih cakna dalam membuat pilihan nanti.
“Misi dan visi saya ialah nak jadikan Ampang sebagai satu kawasan yang mesra untuk setiap lapisan umur. Kita ada tiga generasi, kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Saya nak wujudkan suasana mesra dan harmoni antara ketiga-tiga generasi ini.
“Suatu hari nanti, bila saya jadi datuk, bukan datuk pangkat, saya nak anak cucu saya pun membesar dalam suasana seronok di Ampang,” katanya. – UTUSAN










