‘Adik saya kerja keras, ikat perut kumpul duit kahwin’

‘Adik saya kerja keras, ikat perut kumpul duit kahwin’

PASUKAN penyelamat menemukan mayat mangsa tragedi kepala air, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: “Adik saya be­kerja keras dan ikat perut me­ngumpul duit untuk persiapan kahwin selepas bertunang Februari lalu.”

Itu luahan Shahrizal, 40, mengenai adiknya, Muhammad Fikri Saliman, 24, yang mahu memastikan dapat melangsungkan perkahwinan dengan calon pilihan hatinya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, pada Disember ini.

Shahrizal yang tinggal di Kampung Parit Kuda, Batu Pahat, Johor berkata, dia sedih apabila adiknya dan tunang menjadi mangsa dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini, Sabtu lalu.

Katanya, Muhammad Fikri sanggup bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk memastikan perbelanjaan cukup menjelang perkahwinannya.

“Sepatutnya dia mengikat tali pertunangan dua tahun, namun dia mahu cepat berkahwin. Tapi dia masih belum buat apa-apa persiapan.

“Saya ada bertanya sama ada dia cukup wang untuk berkahwin, namun dia hanya diam, mungkin tak nak susahkan sesiapa,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Air Putih, semalam.

Muhammad Fikri masih hilang manakala mayat Putri Balqis ditemukan pukul 7.44 pagi semalam.

Shahrizal memberitahu, Muhammad Fikri merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik dan tinggal bersamanya selepas kematian ibu mereka tahun lalu.

“Saya harap adik saya ditemui selamat dan saya percaya dia masih hidup. Bagaimana­pun, saya terima apa sahaja keadaannya, ­sekurang-kurangnya saya mahu lihat jasadnya,” katanya.

Tambah Shahrizal, dia me­nganggap tragedi yang menimpa adiknya sebagai ujian kedua paling berat dalam hidupnya.

Jelasnya, dia sebelum ini diuji dengan kehilangan ibunya, Zaiton Rasib yang meninggal dunia tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×