‘Sudah boleh mula gerak kerja’

‘Sudah boleh mula gerak kerja’

AMIRUDIN Shari melawat sambil bertemu wakil daripada 114 syarikat yang menyertai Selangor Job Fair 2023 selepas merasmikan majlis penutup program itu di Shah Alam, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada lagi perbincangan mengenai agihan kerusi bagi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang sudah dimuktamadkan.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, parti kini hanya menunggu keputusan daripada pimpinan parti peringkat atasan untuk memuktamadkan agihan, malah terdapat beberapa kawasan sudah pun memulakan gerak kerja kempen masing-masing.

“Sekarang ini perbincangan saya rasa telah tamat dan kita hanya dalam satu dua kerusi sahaja yang kita belum muktamad­kan dan itu biar presiden ataupun kepimpinan parti peringkat atasan untuk muktamadkan.

SELESAI

“Itu sesuatu yang sangat baik, lebih 95 peratus sekarang sudah selesai dan sudah boleh bekerja (berkempen) dalam masa terdekat, Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan maklumkan kepada pihak pimpinan negeri dan pusat tentang perkemba­ngan ini dan kita mahu semua mula bersiap sedia untuk memastikan kejayaan kita dalam PRN,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Selangor Job Fair 2023, semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan agihan kerusi peringkat Perikatan Nasional sudah dimuktamadkan dan pengesahan mengenai perkara itu dan pengumumannya akan dibuat pada 22 Jun (Rabu) ini.

Selangor dengan sejumlah 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sudah di ambang pembubaran apabila pengumumannya dijangka dibuat pada bila-bila masa.

Malah, media sudah pun menerima jemputan dari Pejabat Menteri Besar mengenai Sidang Media Khas Datuk Seri Amirudin Shari sempena lima tahun pentadbirannya pada hari ini di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Utusan Malaysia sebelum ini dalam analisisnya melaporkan, PN akan menandingi semua 56 kerusi di negeri ini dengan agihan 19 kepada Bersatu, 18 kepada Pas dan selebihnya diberikan kepada Gerakan serta Gagasan Sejahtera.

Bagi gabungan PH-BN pula, BN disasar menandingi 13 kerusi termasuk lima dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) serta yang dikenal pasti memiliki jumlah pengundi signifikan dan selebihnya kekal untuk dipertahankan kompo­nen PH.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor memaklumkan, beliau masih lagi menunggu perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengumumkan tarikh pembubaran DUN.

Selain itu, beliau turut memaklumkan hari ini dijangka menjadi hari terakhir Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Ne­geri (MMKN) Khas yang meneliti sebanyak 450 kertas kerja, sebelum DUN dibubarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN