PRN: Pas lebihkan calon profesional, aliran bukan agama

PRN: Pas lebihkan calon profesional, aliran bukan agama

MOHD. Amar Nik Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas akan melebihkan calon-calon dalam kalangan profesional dan aliran bukan agama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai langkah imbangan serta meningkatkan mutu dalam pentadbiran sesebuah kerajaan negeri.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sebelum ini orang ramai menganggap calon-calon Pas adalah dalam kalangan ustaz namun kali ini mereka daripada aliran keagamaan bukan lagi calon majoriti parti itu.

Menurutnya, bagaimanapun bilangan calon daripada golongan itu masih belum dimuktamadkan.

“Sama ada 50-50 atau sebaliknya kita tunggu dahulu kerana senarai calon akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama. Selepas dimuktamadkan dan setelah penamaan calon, baru kita akan keluarkan senarai berkenaan.

“Setiap calon Pas akan melalui tapisan oleh Majlis Syura Ulama yang akan meneliti pelbagai aspek termasuk latar belakang, keperibadian dan pelbagai kriteria lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pengisytiharan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ujarnya, setakat ini senarai nama calon telah diluluskan oleh kepimpinan pusat dan akan dibentangkan di dalam Majlis Syura Ulama tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, kemungkinan akan ada pertambahan bilangan kerusi yang bakal ditandingi oleh Pas di negeri ini berbanding 37 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kita telah berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan meminta dua daripada lapan kerusi yang dimenangi UMNO di negeri ini diberikan kepada Pas.

“Setakat ini kita lihat Bersatu boleh bersetuju dengan cadangan kita. Mereka berikan dua kerusi kepada Pas dan akan ambil enam kerusi. Cuma kita belum memuktamadkan lagi kerusi mana,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×