Hukuman baharu jual ketum denda RM100,000, jel lima tahun - Utusan Malaysia

Hukuman baharu jual ketum denda RM100,000, jel lima tahun

SURINA SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengedar air ketum kini berdepan hukuman denda sehingga RM100,000 dan penjara sehingga lima tahun berikutan pindaan undang-undang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, hukuman di bawah Akta Racun Seksyen 30 (3) itu telah dipinda dan mula berkuat kuasa tahun ini.

Menurut beliau, hukuman baharu itu memperlihatkan pe­ningkatan denda daripada RM10,000 kepada RM100,000 dan hukuman penjara daripada empat tahun kepada lima tahun.

“Pengusaha dilihat dalam proses ‘tunggu dan lihat’ berkenaan proses hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka.

“Sehingga kini, secara purata hukuman pesalah ketum pada tahun ini ialah RM10,000 jika denda tidak dibayar hukuman penjara secara purata ialah lima ke lapan bulan akan dikenakan.

“Hukuman tersebut masih di peringkat awal dan kemungkinan mahkamah akan meningkatkan lagi hukuman berkaitan,” katanya.

PERMINTAAN

Kata Surina, impak pengurangan permintaan daun ketum oleh Thailand kebelakangan ini secara tidak langsung menyebabkan berlakunya lambakan daun ketum di negeri ini.

Oleh itu, kata beliau, pengusaha ketum kini mula mencari kaedah lain bagi memastikan daun-daun ini dapat dipasarkan secara domestik.

“Polis mengesan terdapat kegiatan pengusaha ketum yang cuba memproses lambakan daun-daun ketum ini untuk pasaran tempatan. Daun-daun ketum ini direbus secara domestik dan dipasarkan kepada penagih-pe­nagih ketum tempatan.

“Pada 2022, sebanyak 302,218.35 liter cecair ketum dirampas di negeri ini manakala dari Januari sehingga April tahun ini sebanyak 804 liter cecair sama dirampas,” katanya.

Kata Surina lagi, ia juga memperlihatkan kadar pengguna ketum domestik masih mendapat pasaran di sekitar negeri ini.

Sementara itu, hukuman baharu itu menakutkan pengedar air ketum yang mula mengurangkan aktiviti jualan air daun tersebut.

Seorang penjual air ketum yang enggan dikenali berkata, hukuman denda yang terlalu tinggi tidak berbaloi untuk dia terus menjual air ketum.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN