HTAA bakal jadi hospital pengajar perubatan sukan, tahun depan - Utusan Malaysia

HTAA bakal jadi hospital pengajar perubatan sukan, tahun depan

NOR AZIMI Yunus (dua, kanan) melawat tapak pameran sempena program 1st National Clinical Exercise Testing Symposium (NACETS) 2023 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dijangka menjadi hospital pengajar bagi Program Latihan Kepakaran (PLK) Perkhidmatan Perubatan Sukan, pada pertengahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pelaksanaan itu selepas pihak hospital mendapat pengiktirafan daripada pusat pengajian Universiti Malaya (UM) yang menawarkan Sarjana Kepakaran Perubatan Sukan.

Menurutnya, pengiktirafan itu nanti akan menjadikan HTAA sebagai pusat latihan bagi perkhidmatan tersebut yang kelima di Malaysia dan pertama di Pantai Timur.

“Buat masa ini, pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja dan melakukan justifikasi termasuk dari segi keperluan kepakaran dan peralatan.

“Kita akan menyerahkannya kepada pihak UM dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan pengiktirafan daripada pakar insititusi pengajian tinggi (IPT) terbabit.

“Pihak kami menjangkakan pihak mereka (UM) akan membuat lawatan ke HTAA penghung tahun ini sebelum dibentangkan dalam mesyuarat di peringkat kebangsaan,” katanya di HTAA di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Nor Azimi berkata, HTAA akan menjadi hospital kelima sebagai pusat latihan kepada perkhidmatan perubatan sukan ini selepas Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Hospital Tuanku Jaafar di Seremban dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“HTAA bersedia menerima pelajar atau pelatih dalam jurusan ini dan sedang dalam permohonan kemasukkan beberapa orang lagi pakar yang akan ditempatkan sebagai tenaga pengajar.

“Kita yakin mempunyai keupayaan dalam melaksanakannya termasuk daripada segi fasiliti yang sudah ada ditempatkan di HTAA ini,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, sejak unit perubatan sukan ditubuhkan di HTAA dengan menempatkan dua pakar perubatan sukan, terdapat peningkatan sekitar lima peratus pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di unit terbabit.

“Golongan pesakit yang mendapatkan perkhidmatan ini dianggarkan 90 peratus daripadanya adalah populasi masyarakat umum dan hanya 10 peratus golongan atlet. Ini bermaksud, kita dapati perkhidmatan perubatan sukan ini sudah mula dikenali sekali gus memberikan impak bahawa unit tersebut mempunyai signifikan di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya