SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim tetap yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat bersidang pada 26 November ini.
Menurutnya, beliau masih berusaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berhubung tarikh berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata tarikh berkenaan masih kekal seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
“Saya sedang berusaha mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar.
“Seperti mana saya sebut sebelum ini, itulah. Nanti kita tengok-tengok macam mana,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perpatih Fest 2026 di Muzium Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, kemungkinan pembubaran secara automatik DUN negeri itu jika gagal bersidang sehingga Februari depan perlu diteliti dari sudut perundangan.
“Itu saya tak pasti. Kita tengok dari segi undang-undang,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata DUN boleh terbubar dengan sendirinya pada Februari 2027 sekiranya tiada sidang diadakan sehingga tempoh berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, situasi itu memerlukan kerajaan negeri pimpinan Ismail menyelesaikan isu proklamasi membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sesegera mungkin bagi membolehkan Sidang DUN diadakan, termasuk untuk pembentangan belanjawan negeri.
Katanya, kerajaan negeri belum memperoleh proklamasi untuk mengadakan Sidang DUN selepas tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersetuju bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan berkuat kuasa.- UTUSAN











