PUCHONG: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan stok makanan secara berlebihan menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 berikutan bekalan makanan dan minuman bagi menghadapi musim banjir dijangka mencukupi.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, masyarakat hanya perlu menyediakan bekalan makanan dan minuman mengikut keperluan serta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan.
Katanya, penyebaran maklumat yang menggalakkan orang ramai menyimpan stok makanan secara berlebihan dikhuatiri mencetuskan pembelian panik sehingga menjejaskan keadaan pasaran.
“Buat persiapan seperti biasa dan beli sekadar yang perlu sahaja. Jangan terpengaruh dengan berita yang boleh menyebabkan pembelian panik.
“Bekalan makanan mencukupi, insya-Allah. Tidak perlu membuat pembelian panik,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus NADMA Bersama Media Mengenai Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Meor Ismail berkata, persiapan menghadapi banjir perlu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di kawasan yang jarang atau tidak pernah mengalami bencana berkenaan.
Menurutnya, kawasan yang sering dilanda banjir lazimnya mempunyai tahap kesiapsiagaan lebih baik kerana penduduk, agensi penyelamat dan pihak berkuasa tempatan sudah berpengalaman mengendalikan situasi kecemasan.
Bagaimanapun, beliau lebih bimbang terhadap kawasan yang jarang dilanda banjir kerana tahap kesiapsiagaan penduduk mungkin tidak setanding dengan kawasan yang sering berdepan bencana itu.
“Kawasan yang biasa banjir, apabila saya pergi tengok, persiapan mereka baik. Pegawai daerah dan anggota bomba pun sudah biasa dengan cara bertindak balas.
“Tetapi kawasan yang baharu atau jarang banjir, itu yang lebih saya risau. Walaupun ramalan menunjukkan banjir mungkin berkurangan, persiapan kita tetap sama kerana saya bimbang ada pihak yang alpa,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh kejadian banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam serta Bentong, Pahang yang menunjukkan bencana itu boleh berlaku di kawasan luar jangkaan.
Katanya, perubahan iklim turut menjadi antara faktor yang perlu diberikan perhatian kerana kejadian banjir boleh berlaku di kawasan yang sebelum ini dianggap kurang berisiko.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua agensi berkaitan supaya mengekalkan tahap kesiapsiagaan tanpa mengira jangkaan awal keadaan banjir pada musim ini.
Sementara itu, Meor Ismail menasihatkan penduduk supaya menyimpan dokumen dan barangan penting di tempat tinggi, selain membuat persediaan awal untuk memindahkan ahli keluarga yang memerlukan bantuan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan wanita hamil.
Katanya, pemindahan awal terutama selepas amaran cuaca dikeluarkan tiga hari sebelum kejadian dapat mengurangkan risiko keselamatan serta memudahkan operasi menyelamat sekiranya banjir berlaku. – UTUSAN











