Restoran Sardinia larang keluarga guna telefon ketika makan

Restoran Sardinia larang keluarga guna telefon ketika makan

SARDINIA melarang keluarga menggunakan telefon pintar dan peranti elektronik lain ketika makan bagi menggalakkan komunikasi dan perbualan antara ahli keluarga.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARDINIA: Beberapa restoran di Sardinia, Itali melarang keluarga menggunakan telefon pintar dan peranti elektronik lain ketika makan bagi menggalakkan komunikasi dan perbualan antara ahli keluarga.

Inisiatif yang dikenali sebagai A tavola senza schermi atau ‘makan tanpa skrin’ itu diterajui Pesuruhjaya Kanak-kanak pulau berkenaan, Anna Cau sebagai sebahagian daripada kempen membendung penggunaan skrin secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak serta menggalakkan interaksi ketika waktu makan.

Ibu bapa dan anak-anak mereka diwajibkan menyimpan telefon masing-masing ketika menjamu selera di 15 restoran yang secara sukarela menyertai program percubaan selama sebulan itu, bermula minggu depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cau, bekas majistret mahkamah juvana, berkata, inisiatif itu bukan bertujuan bergantung sepenuhnya pada larangan atau meletakkan seluruh tanggungjawab kepada ibu bapa, sebaliknya memastikan persekitaran masyarakat turut menyokong peranan mereka dan membantu kanak-kanak berinteraksi dengan orang lain.

“Kita memerlukan persekitaran sebenar yang dapat memperkukuh dan menampung kehidupan orang dewasa serta kanak-kanak. Inisiatif ini merupakan langkah kecil dalam falsafah lebih luas yang menjadi panduan pendekatan saya terhadap isu yang sangat kompleks ini,” katanya.

Selepas keluarga menyerahkan peranti masing-masing, kakitangan restoran akan memberikan mereka ‘kit kebersamaan’ yang mengandungi permainan dan bahan lukisan.

Kit yang direka oleh Persekutuan Pakar Pediatrik Itali itu bertujuan membantu kanak-kanak berusia bawah 18 tahun memulakan perbualan dengan ibu bapa, termasuk berkongsi pengalaman sepanjang hari.

Kit berkenaan turut mengandungi risalah yang menerangkan risiko pendedahan digital secara berlebihan serta panduan mengurus penggunaan media sosial di rumah.

Cau membangunkan program itu bersama cawangan Sardinia bagi Fipe-Confcommercio, sebuah persatuan yang menghimpunkan sektor katering, pelancongan dan hiburan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini