JOHOR BAHRU: Sebuah premis restoran 24 jam didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana gagal mematuhi arahan penutupan premis tidak suci yang dikeluarkan terhadapnya, tujuh bulan lalu.
Hukuman tersebut dijatuhkan Majistret, R. Salini selepas pengurus syarikat yang mewakili Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dihukum penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didapati gagal mematuhi arahan penutupan premis dan masih menjalankan operasi di premis berkenaan dalam tempoh arahan penutupan di kawasan Indahpura, di sini pada pukul 12.09 tengah hari, 28 Mac lalu.
Atas kesalahan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Mohd. Aliff Tajuddin Zaidi manakala OKS diwakili peguam, G. Gopal Sriganesh.
Menurut fakta kes, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat najis tikus dalam premis restoran menyebabkan arahan kerja-kerja pembersihan dibuat serta merta selain dikenakan arahan penutupan 14 hari sejak 27 Mac lalu hingga 10 April lalu.
Bagaimanapun, pada 28 Mac lalu, premis itu didapati masih meneruskan operasi walaupun arahan penutupan sedang berkuat kuasa.-UTUSAN










