HANOI: Polis Vietnam menahan 12 lelaki yang dituduh mencuri hampir 2,700 ekor kucing dalam serbuan waktu malam di kawasan perumahan, sebelum haiwan berkenaan dihantar untuk disembelih sebagai makanan.
Menurut polis dan media kerajaan, kumpulan itu dipercayai menjalankan kegiatan mencuri kucing dari kawasan perumahan di Ho Chi Minh City.
Antara barangan yang dirampas dalam siasatan ialah mesin mencabut bulu, perangkap kucing dan alat penimbang.
Polis berkata, barangan berkenaan ditemukan ketika siasatan dijalankan terhadap kumpulan yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kucing untuk dijual kepada restoran.
Pengambilan daging anjing dan kucing adalah sah di Vietnam, dengan sesetengah restoran secara terbuka menawarkan hidangan berkenaan.
Bagaimanapun, peniaga diwajibkan mendapatkan sijil yang menunjukkan asal-usul haiwan terbabit.
Menurut laporan media, kucing yang dicuri boleh dijual kepada restoran pada harga sekurang-kurangnya 70,000 dong (RM10.80) sekilogram.
Polis berkata, 12 lelaki itu ditahan atas dakwaan mencuri harta benda dan mengaku mencuri serta menjual kira-kira 2,700 ekor kucing pelbagai jenis.
Prosiding jenayah terhadap mereka bermula pada Ahad, namun tidak dapat dipastikan bila kesemua suspek ditahan.
Menurut media kerajaan, suspek menjalankan kegiatan itu antara pukul 11 malam hingga 4 pagi dengan menaiki motosikal secara berkumpulan kecil di kawasan perumahan untuk mencuri kucing tempatan.
Kegiatan kumpulan itu mula dikesan pada Julai, dengan polis merampas 50 ekor kucing hidup, 55 perangkap kucing, dua alat penimbang dan dua mesin mencabut bulu.
Setiap kumpulan dipercayai mencuri antara empat hingga 10 ekor kucing setiap malam.
Awal tahun ini, polis di Ho Chi Minh City turut menahan 18 individu yang disyaki terbabit dalam dua kumpulan berasingan yang mencuri kucing.- AFP











