Belia tidak minat bidang pertanian

Belia tidak minat bidang pertanian

Para pesawah terus tertekan apabila mendakwa harga padi makin jatuh tetapi harga benih meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Adakah golongan belia tidak berminat menceburi bidang pertanian?

Dalam tempoh tiga tahun, pengli­batan anak muda menurun daripada 1,149 orang pada 2020 kepada 791 orang pada 2021 dan berkurangan kepada 704 pada 2022 sekali gus mengundang kebimbangan ketiadaan barisan pelapis serta masa depan keterjaminan makanan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, hanya sebahagian kecil menunjukkan minat, itupun mewarisi pertanian diusahakan keluarga.

Katanya, sambutan dingin daripada golongan berkenaan dipengaruhi beberapa faktor seperti kekangan modal permulaan, bimbingan teknologi dan tunjuk ajar serta kurang promosi serta tiada pemantauan berterusan.

“Faktor tarikan yang tidak merangsangkan termasuk kerenah birokrasi juga menyekat penyertaan golongan muda dalam bidang tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan, seramai 1,149 orang menerima Geran Agropreneur Muda dengan jumlah peruntukan RM21.73 juta pada 2020 tetapi menurun kepada 791 orang melibatkan peruntukan RM15.75 juta pada 2021 dan 704 orang menerima geran dengan jumlah peruntukan sebanyak RM14.04 juta pada 2022.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah belia yang menerima geran itu dalam tempoh lima tahun bagi tahun 2018 hingga 2022 hanya seramai 4,179 orang dengan nilai geran RM76,75 juta.

Mazlan berkata, jumlah 4,179 itu sepanjang tempoh itu masih terlalu jauh berbanding dengan jumlah belia yang me­nganggur kerana kadar pengangguran bagi golongan berumur 15 hingga 30 tahun pada Januari 2023 seramai 450,200 orang.

Menurutnya, itu belum dikira lagi peratusan kejayaan dalam senarai penerima.

“Mungkin sekadar 50 peratus atau kurang. Angka tepat mungkin tiada kerana pemantauan yang kurang selepas menerima geran, dengan erti kata lain pangkalan data penerima tiada maklumat sebenar,” katanya.

Program Agropreneur Muda diwujudkan bagi membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda berumur 18 hingga 40 tahun dalam bidang keusahawanan agro berasaskan aktiviti di sepanjang rantaian nilai sektor pertanian seperti pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan serta industri makanan dan asas tani.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, penglibatan golongan belia dalam industri agromakanan sebenarnya penting supaya sektor itu boleh mempu­nyai pelapis yang berpanjangan.

“Kalau tidak, warga asing akan mengisi tempat tersebut dan ini ancaman buruk kepada masa hadapan keterjaminan makanan negara,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan digesa menubuhkan segera Majlis Agropreneur Muda Kebangsaan sebagai kumpulan sokongan kepada belia yang aktif dalam pertanian.

“Majlis ini perlu berperanan seperti Majlis Belia Malaysia yang ada organisasi dan dana sendiri sebagai kumpulan sokongan yang bebas dan dekat dengan belia yang aktif dalam pertanian,” jelasnya.

Sementara itu, Felo Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, program tersebut merupakan satu usaha yang baik, tetapi geran sahaja tidak mencukupi.

Beliau berkata, ini kerana apa yang penting adalah ilmu dan kemahiran teknologi yang bersesuaian dalam perniagaan yang hendak diusahakan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN