Kemahiran digital rakyat Malaysia lemah - Utusan Malaysia

Kemahiran digital rakyat Malaysia lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kemahiran digital di Malaysia masih lemah malah di belakang Indonesia dan Vietnam mengikut Laporan Kemahiran Global oleh Coursera pada 2021.

Malaysia berada di kedudukan ke-46, Indonesia ke-45, Viet­nam ke-20 manakala Singa­pura juara memiliki kemahiran digital terbaik di Asia Tenggara berada di kedudukan ke-10.

Selain itu, sebanyak 79 peratus organisasi di Malaysia turut ketinggalan dalam menguasai ketangkasan digital walupun ke­pesatan transformasi digital dan penerima gunaan teknologi yang meningkat dalam tempoh pandemik Covid-19.

Kajian Workday iaitu pene­raju dunia dalam aplikasi perusahaan awam bagi kewangan dan sumber manusia turut mendapati, Malaysia berada di kedudukan ketujuh dalam Indeks Ketangkasan Digital 2022 merentasi Asia Pasifik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Perbadanan Pemba­ngunan Sumber Manusia (HRD Corp) berkata, dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), trend pekerjaan telah berubah dengan cepat akibat teknologi digital dan automasi.

“Jadi, individu perlu me­ngem­bangkan kemahiran baharu, terutama di bidang kemahiran digital untuk memenuhi permintaan pasaran dan bersaing dalam industri yang sema­kin kompetitif,” kata beliau baru-baru ini.

JURANG

HRD Corp tidak dinafikan terdapat jurang dalam penyediaan latihan di negara ini, bagaimanapun, ia tidak berada di peringkat kritikal dan tidak memberikan kesan negatif besar terhadap persaingan negara di peringkat antarabangsa.

Menerusi Laporan Randstad 2022 Workmonitor Survey Malaysia, 85 peratus tenaga kerja Malaysia percaya bahawa penting untuk majikan menawarkan peluang latihan pendidikan dan pembangunan di tempat kerja.

Namun, hanya 36 peratus daripada jumlah ini percaya bahawa mereka menerima latihan tersebut.

“Jurang ini perlu diatasi secepat mungkin untuk mem­perkasa tenaga kerja dan me­nyediakan negara untuk menghadapi proses pemulihan ekonomi pasca pandemik dengan lebih rancak.

“Sebagai mengambil langkah itu, HRD Corp menganjurkan inisiatif baharu National Trai­ning Week (NTW) 2023 untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya latihan untuk individu di negara ini,” katanya.

TOPIK

NTW 2023 bakal berlangsung dari 22 hingga 28 Mei dengan menampilkan lebih 5,000 kursus latihan percuma di seluruh negara merangkumi pelbagai topik dan bidang kemahiran demi memenuhi tuntutan industri yang kini beralih kepada keperluan kemahiran digital yang tinggi.

Apatah lagi berdasarkan ramalan Forum Ekonomi Dunia menjangkakan lebih dua pertiga pekerjaan mungkin digantikan automasi, selain tujuh juta pekerjaan berisiko akibat digitalisasi.

Jelasnya, sasaran NTW 2023 ialah menarik lebih 5,000 jurulatih dan kolaborator untuk menyampaikan lebih 5,000 kursus latihan, melatih sehingga 125,000 peserta dan merekodkan lebih 500,000 jam latihan serta mencipta lebih RM250 juta nilai latihan.

“Kursus-kursus berasaskan ke­mahiran digital ini boleh di­ser­tai secara fizikal, dalam talian atau secara hibrid sebagai platform untuk mereka merangkul pembelajaran seumur hidup dan mengembangkan kemahiran mereka secara konsisten.

“Ia sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti dalam kalangan pekerja tempatan dan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×