PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyelesaikan isu monopoli simen didakwa dikawal syarikat gergasi yang berkuasa mengawal bekalan dan pasarannya ke seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, kewujudan syarikat yang melakukan kegiatan kartel memonopoli pasaran simen pernah didedahkan pihaknya pada 8 Disember tahun lalu, dengan harapan kerajaan bertindak membasminya.
Malangnya, Mohamed Fadzill berkata, sehingga sekarang kerajaan masih tidak mengambil sebarang tindakan membanteras monopoli tersebut, malah kartel itu masih berterusan menguasai bekalan dan pasaran simen di negara ini.
“Masih tiada tindakan oleh kerajaan bagi mengawal monopoli kartel simen di Malaysia yang sekarang masih berkuasa mengawal bekalan dan harga simen.
“Syarikat ini sudah jadi pemain gergasi industri simen, sudah beli syarikat-syarikat kecil dan mengawalnya. Apabila ini berlaku, kartel ini berkuasa mengawal pengeluaran dan harga simen seluruh negara,” katanya di sini, semalam.
Pada 8 Disember, 2022, akhbar ini mendedahkan aktiviti monopoli pengeluaran simen negara oleh syarikat besar adalah antara punca berlaku kenaikan harga bahan binaan tanpa kawalan di pasaran ketika ini.
Mengulas perkara itu, Mohamed Fadzill berkata, meskipun simen merupakan bahan kawalan kerajaan, namun ia sebenarnya terdedah kepada eksploitasi sama ada dari segi harga mahupun bekalan.
Katanya, ini jelas dilihat apabila sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dalam pada negara sibuk berdepan ketidaktentuan politik, dalam diam harga simen di pasaran dinaikkan pihak pengeluar sehingga mencecah 30 peratus berbanding harga asal RM17 sekampit kepada RM22.
“Misalnya jika mereka kata mahu naikkan harga simen satu beg RM3, maka naiklah semua harga RM3. Seluruh Malaysia syarikat gergasi kartel ini akan bekalkan sebegitu,” katanya.
Pada masa sama, jelasnya, kartel tersebut turut menguasai pasaran produk lain berasaskan simen sekali gus bertanggungjawab terhadap kenaikan kos pembinaan sekarang ini.
“Selain simen, bekalan konkrit bancuh siap juga di bawah penguasaan kartel ini. Bila harga simen biasa dinaikkan kartel ini, harga produk lain berasaskan simen juga pasti akan naik.
“Dalam sektor pembinaan, hampir semua bahan binaan berasaskan simen, jadi seolah-olah dari hujung rambut sehingga hujung kaki dikawal kartel ini,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberitahu, kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud ketika ini sebagai langkah menyediakan perkhidmatan lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos berpatutan.
Beliau berkata, semua kementerian diarahkan mengkaji kewajaran pelaksanaannya untuk penilaian adil terhadap isu itu.
“Prinsip pembangunan ekonomi yang telus memerlukan kami membuat beberapa pelarasan dan peralihan daripada apa yang saya fikirkan sebagai kehuru-haraan, lapuk dan untuk menangani kepentingan tertentu dalam konteks monopoli,” katanya pada hari terakhir lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi sebelum ini. – UTUSAN










