PETALING JAYA: UMNO dan DAP perlu bersama-sama mewujudkan ruang untuk berunding bagi mencapai kesefahaman supaya tidak timbul masalah ketika hubungan kedua-dua parti dilihat tidak mesra meskipun telah berada dalam gabungan kerajaan semasa.
Ia terutama apabila UMNO dan DAP saling berbalas kenyataan mengenai usaha menarik sokongan orang Melayu dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat, Ronnie Liu berkata, kedua-dua parti itu sewajarnya mengambil inisiatif sumbang saran atau brainstorming memandangkan mereka sudah lama bermusuh sejak lebih 50 tahun.
“Sudah sampai masanya kesemua pemimpin politik di dalam parti ini menyingkirkan perasaan sempit berbaur perkauman. Sekarang ini jalankan konsep Malaysia Madani yang diasaskan Perdana Menteri.
“Kedua-duanya kena ikhlas, kalau dahulu banyak yang hentam DAPlah, UMNOlah. Dulu UMNO didakwa rosakkan minda orang Melayu supaya tidak sokong DAP, sekarang zaman itu sudah berlalu. Kena ambil iktibar dan bergerak ke hadapan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar ini melaporkan, Pengerusi DAP Perak, Dr. Aziz Bari berkata, peranan UMNO menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Katanya, UMNO dilihat hanya menumpang kekuatan Pakatan Harapan (PH) kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.
Mengulas lanjut, Ronnie Liu menyorot bagaimana beliau ketika ini sudah boleh berhubung dan bermesra bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, malah menganggapnya sebagai sahabat.
“Saya sudah berbaik dengan beliau, semuanya kawan. Memang saya ada panggil beliau melalui telefon, tidak seperti dahulu lagi, dulu asyik lawan sahaja. Jadi, kalau saya sendiri boleh lakukannya, mengapa orang lain tidak melakukan perkara sama?
“Bagi saya, kenyataan Aziz Bari dan Nur Jazlan ini belum melangkaui batas, masih boleh diterima. Tidaklah sehingga tahap menjejaskan hubungan di dalam Kerajaan Perpaduan. Cuma, lebih baik jangan buang masa bercakap melalui media, duduklah semeja,” katanya. – UTUSAN










