
MUKADIMAH
Kemerosotan hasil padi sehingga 150,000 tan metrik setahun mendatangkan kebimbangan kerana dikhuatiri sekiranya hasil itu terus menurun maka ia akan menjejaskan bekalan beras negara. Kerajaan bagaimanapun optimis stok bekalan padi dan beras mencukupi untuk kegunaan rakyat negara ini.
Ikuti temu bual Wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung isu ini.
UTUSAN: Hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilaporkan merosot kira-kira 150,000 tan metrik setahun, apakah tindakan kerajaan?
MOHAMAD SABU: Kerajaan melalui MADA telah merangka pelbagai inisiatif bagi meningkatkan hasil padi negara antaranya menerusi pelaksanaan program SMART SBB. Selain itu mengadakan kempen peningkatan hasil padi seperti pematuhan jadual penanaman, penggunaan benih sah, kawalan penyakit, kerjasama penyelidikan dengan agensi serta institusi untuk pembangunan tanaman padi, pelaksanaan projek pembangunan bagi meningkatkan kepadatan infrastruktur pertanian dan menggalakan penyertaan belia dan golongan muda di dalam industri padi.
Pesawah dalam negara semakin berkurang, apakah itu indikasi Malaysia akan terpaksa bergantung pada beras import?
Terdapat beberapa indikasi yang mempengaruhi pengeluaran padi seperti perubahan iklim yang ekstrem, serangan penyakit dan makhluk perosak dan lain-lain. Kerajaan menggalakkan pesawah menggunakan mekanisasi dan teknologi aplikasi IR4.0 seperti internet of things dalam pengurusan tanaman padi dan telah dilaksanakan di beberapa kawasan di Selangor.
Bagaimana dengan harga padi atau beras dalam negara?
Harga padi adalah stabil kerana harga belian di Semenanjung adalah RM1,200 per tan metrik. Harga beras putih Super Special Tempatan lima peratus yang dijual di Semenanjung dan Super Spesial lima peratus di Sabah dan Sarawak adalah ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak 2008. Harga ini masih berkuat kuasa. Kadar harga ini adalah yang terendah di rantau Asia Tenggara.
Apakah status keterjaminan padi masa sekarang?
Status semasa keterjaminan padi dan stok beras negara ketika ini adalah mencukupi dan stabil. Ini terbukti semasa negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, bekalan beras dalam negara sentiasa ada dan tidak pernah terputus.
Kerajaan sentiasa berusaha memastikan bekalan beras mencukupi dan terjamin dengan menggiatkan langkah bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi melalui strategi dan inisiatif yang telah dirangka oleh kementerian.
Dengan masalah infrastruktur, orang tengah serta kekurangan pesawah, bagaimana kerajaan boleh jamin supaya bekalan beras berterusan?
Kerajaan terus menggiatkan usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi dan beras negara.
Antaranya menggalakkan penggunaan teknologi dan mekanisasi dalam mengusahakan tanaman padi, meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan varieti padi yang dapat mengeluarkan padi yang berkualiti dan berhasil tinggi, menggalakkan penggunaan baja organik bagi membaiki dan merawat struktur tanah serta menggalakkan pengurusan sawah secara sistematik melalui pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
Usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran padi, malah dapat meningkatkan pendapatan pesawah dan memastikan keterjaminan makanan berterusan.










