Jambatan Bailey dibina di laluan utama Felda Selancar yang runtuh - TPM - Utusan Malaysia

Jambatan Bailey dibina di laluan utama Felda Selancar yang runtuh – TPM

AHMAD Zahid Hamidi melakukan tinjauan di laluan utama Felda Selancar di Rompin, Pahang yang terputus hubungan akibat runtuh awal pagi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Kerajaan menyediakan peruntukan segera bagi membina jambatan Bailey di laluan utama ke Felda Selancar di sini yang runtuh dan mengalami hakisan teruk ekoran arus deras disebabkan hujan lebat dan berterusan sejak semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jambatan Bailey itu akan dibekalkan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti.

Katanya, jambatan Bailey terbabit dijangka akan siap digunakan oleh ribuan penduduk yang terjejas di Felda Selancar 1, 2, 3, 4 dan 5 serta serata Pahang dan Johor dalam tempoh antara 48 hingga 72 jam.

“Saya bersama Ketua Pengarah Nadma dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus ke Rompin bagi meninjau keadaan jalan utama ke Segamat telah terputus sepenuhnya.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Nadma bagi menyediakan peruntukan dan menghubungi Panglima Tentera Darat untuk menghantar Kor Jurutera Diraja Tentera Darat ke tempat kejadian dan segera membina jambatan Bailey bagi menghubungkan laluan jalan yang terputus dalam tempoh jangkaan siap antara 48 hingga 72 jam,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau keadaan jalan yang terputus hubungan terbabit, di Felda Selancar di sini hari ini.

Kata Ahmad Zahid lagi, pemasangan jambatan Bailey itu sekurangnya dapat membantu penduduk yang terjejas untuk terus melakukan urusan perjalanan harian mereka.

“Terdapat kira-kira 110 pelajar yang sedang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi oleh sebab jalan terputus, mereka tidak dapat mengambil peperiksaan itu kerana kertas peperiksaan tidak sampai.

“Selain itu terdapat juga seorang pesakit dialisis yang sedang berusaha untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan terdapat seorang ibu yang bersalin tetapi pihak ambulan telah membawa ke klinik berdekatan,” katanya.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas tindakan pantas yang diambil justeru meminta orang ramai yang berada di kawasan-kawasan yang terdedah banjir untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

“Namun yang paling penting di sini ialah tindakan cepat yang dilakukan oleh pihak Nadma, Angkatan Tentara Malaysia (ATM) dan JKR dan saya berterima kasih kepada pengurus Felda di Zon Selancar ini. Marilah kita sama-asama berdoa agar hujan semakin berkurangan seperti ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 2 Mac (esok).

“Langkah-langkah awal untuk membantu penduduk terjejas sedang dilakukan pihak Nadma, pejabat daerah, pihak Felda dan pihak kerajaan negeri. Tindakan cepat yang diambil adalah tanda kerajaan memberikan perhatian terhadap kawasan yang terjejas samada di Rompin dan juga Segamat,” katanya.

Sebelum ini akhbar melaporkan hujan lebat dan tanpa henti sejak semalam menyebabkan lebih 4,000 penduduk di Felda Selancar di sini terputus hubungan selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan itu runtuh awal pagi hari ini.

Hujan lebat turut menyebabkan laluan alternatif ke kawasan yang mempunyai kira-kira 10 tanah rancangan itu ditenggelami air dan tidak dapat dilalui semua kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya