KUALA LUMPUR: Draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan lebih awal itu berikutan akta tersebut telah tersedia sekali gus membolehkan ia dibentang lebih awal daripada tempoh tiga bulan yang ditetapkan Perdana Menteri.
“Dengan dukungan semua, dengan sokongan dan persiapan dari Pengerusi Mara atau Pengarah Mara, saya akan buktikan bahawa saya sendiri akan membentangkan Akta Mara yang baharu ini dalam tempoh tiga minggu daripada hari ini.
“Saya bukan riak, Akta Mara telah siap sedia untuk dibentangkan. Ertinya kita efisien, ertinya kita bukan generasi seperti sebelum merdeka. Kita anak pasca merdeka, apabila tanggungjawab diberikan, insya-Allah kita akan buktikan dalam tempoh 40 tahun akan datang, Mara akan lebih cemerlang apabila ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Kami Gen Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan draf pindaan Mara 1966 diserahkan kepadanya dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, pindaan akta itu adalah selaras dengan tujuh tujahan dalam Gagasan 40 Tahun Mara yang dirangka sebagai pelan memastikan institusi itu muncul sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi bumiputera yang lebih inklusif, berdaya saing serta mampu menembusi pasaran global.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berkata, akta baharu itu merupakan kesinambungan kepada akta yang diperkenalkan pada 1969 namun ditambah baik sebagai persediaan jangka panjang sehingga 100 tahun akan datang.
Beliau juga menegaskan, Mara kekal sebagai institusi khusus untuk bumiputera selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di negara ini.
Katanya, kedudukan itu bukan sahaja termaktub dalam Perlembagaan, malah merupakan sebahagian kontrak sosial yang dipersetujui oleh pemimpin pelbagai kaum dan agama, sejak sebelum kemerdekaan.
“Penubuhan Mara adalah hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pada 1965 sebelum Akta Mara diperkenalkan pada 1966 dengan matlamat utama untuk meningkatkan taraf sosioekonomi bumiputera,” katanya. – UTUSAN










