Zahid jumpa MCA, MIC esok muktamad calon PRN Johor - Utusan Malaysia

Zahid jumpa MCA, MIC esok muktamad calon PRN Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dimuktamadkan minggu depan selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan parti-parti komponen khususnya MCA dan MIC.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan MCA dan MIC esok bagi mendengar sendiri pendirian masing-masing berhubung pembahagian kerusi.

“Bagi Johor, ia hampir dimuktamadkan. Esok saya akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti komponen khususnya MCA dan MIC untuk mereka memuktamadkan pendirian masing-masing.

“Bagi UMNO pula, ia hampir selesai. Insya-Allah dalam minggu depan kita akan selesaikan sepenuhnya dan pengumuman akan dibuat seminggu sebelum hari penamaan calon.

“Bagi PRN Negeri Sembilan, Menteri Besar telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun BN masih membuka pintu (rundingan) dan juga tidak menutup pintu serapat-rapatnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di sini hari ini.

Mengulas mengenai kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan, beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah dengan menghormati institusi kedaulatan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sedia ada.

“Cara penyelesaian terbaik ialah menghormati institusi kedaulatan DKU sedia ada. Dan pada hemat saya, jalan terbaik ialah melalui rundingan tanpa perlu membawa perkara tersebut ke mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pengisytiharan dan pengesahan pelantikan ke jawatan itu perlu dibuat mengikut saluran yang sah bagi mengelakkan berlakunya ketidakamanan.

Ia susulan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, semalam.

Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN