Isu tanah Felda, penstrukturan KPF jadi keutamaan kerajaan - TPM - Utusan Malaysia

Isu tanah Felda, penstrukturan KPF jadi keutamaan kerajaan – TPM

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Peneroka 2026 dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kerajaan akan memberi keutamaan terhadap penyelesaian isu tanah generasi kedua Felda penstrukturan semula Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dan usaha memperkukuh kedudukan kewangan Felda demi menjamin masa depan warga peneroka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan pengumuman tujuh inisiatif kebajikan oleh Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Peneroka 2026 dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, kerajaan kini memberi tumpuan kepada beberapa isu utama yang sudah lama membelenggu komuniti Felda.

Menurutnya, antara keutamaan ialah penyelesaian isu tanah bagi membolehkan generasi kedua membina rumah di lot tanah yang diwarisi daripada ibu bapa mereka.

“Pindaan berkaitan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) sudah pun dibawa ke Kabinet dan dua negeri, iaitu Pahang serta Johor sudah mengambil langkah memberikan kebenaran serta hak milik bagi pembinaan rumah generasi kedua di lot yang sama.

“Bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan penyambungan bekalan air di Pahang juga sudah diselesaikan, manakala Johor sedang melaksanakannya. Saya berharap negeri-negeri lain dapat mengambil langkah yang sama demi kepentingan generasi kedua dan ketiga Felda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Peneroka 2026 dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap kedudukan KPF susulan permintaan ramai ahli yang mahu menebus semula saham mereka berikutan pulangan dividen yang rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, KPF memerlukan kira-kira RM350 juta bagi membayar tuntutan penebusan saham ahli, selain RM150 juta lagi bagi menyelesaikan bayaran tertunggak kepada pemiutang.

“Saya telah membantu pihak pengurusan KPF melaksanakan penstrukturan semula beberapa aset supaya pembayaran kepada ahli dan pemiutang dapat diselesaikan selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, langkah penstrukturan itu penting bagi memulihkan semula prestasi koperasi supaya kembali mampu memberikan pulangan dividen yang lebih baik kepada ahlinya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan turut meneliti cadangan supaya ladang-ladang yang kini diuruskan pihak lain dikembalikan kepada pengurusan Felda sendiri.

Menurutnya, langkah itu diyakini mampu memperkukuh kedudukan kewangan agensi berkenaan serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN