Budak lelaki lemas terjatuh longkang - Utusan Malaysia

Budak lelaki lemas terjatuh longkang

SEORANG budak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Ungku Aminah, Johor Bahru. GAMBAR/IHSAN BOMBA

JOHOR BAHRU: Seorang budak lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah longkang di Jalan Mahkota 7, Taman Ungku Aminah, di sini petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Pegawai Bomba Kanan II, Faisal Ismail berkata, pihaknya mendapat maklumat tentang kejadian tersebut pada pukul 4.01 petang dan seramai 12 anggota berserta empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati tubuh mangsa berada dalam keadaan tersangkut di pembetung selepas terjatuh longkang.

“Anggota kemudian mengeluarkan mangsa menggunakan tali, sebelum mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mangsa yang berasal dari Sarawak itu tinggal di flat berhampiran lokasi kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang berjalan di kawasan berdekatan bersama-sama dua rakannya sebelum dia terjatuh ketika cuba menyeberangi longkang berkenaan.

“Ketika itu air di longkang sudah penuh dan mangsa dihanyutkan arus yang agak deras,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi  ditamatkan pukul 5.15 petang. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN