ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam longkang di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, petang tadi ditemukan lemas selepas lebih tiga jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mangsa yang berusia 11 tahun ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada pukul 8.35 malam, kira-kira 600 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum dipercayai dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat.
Ketua Zon 2 JBPM Melaka, Penguasa Bomba Tc Zulkhairani Ramli berkata, mangsa ditemukan pada pukul 8.35 malam dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok serta disekat oleh timbunan sampah di dalam aliran air longkang.
“Kedudukan itu menyebabkan pergerakan mayat mangsa terhalang dan memudahkan pasukan PPDA mengesan lokasi mangsa,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan pendekatan bertindak segera dalam situasi kritikal berikutan paras air yang tinggi dan arus yang deras.
“Kami memulakan pencarian di permukaan air sebaik tiba di lokasi bagi mengelakkan mangsa dihanyutkan lebih jauh.
“Tindakan pantas ini penting untuk menghadkan radius pencarian kerana pergerakan air ketika itu sangat deras,” jelasnya.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut dan bedah siasat. – UTUSAN







