PETALING JAYA: Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) mengakui ramai belia gelap mata dan terperangkap dengan pelbagai tawaran daripada bank khususnya kad kredit, pembiayaan kereta dan pinjaman peribadi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Rosland Mohd. Arif berkata, kebanyakan belia tidak membaca butiran pinjaman sebaliknya terus menandatangani surat persetujuan tanpa berfikir panjang.
Malah, menurut beliau, belia juga tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan disiplin untuk merancang pembayaran balik selepas berbelanja tanpa had.
“Aduan itu kebanyakan diterima daripada anak muda Melayu yang menghubunginya bakal bankrap selepas tidak dapat bayar balik pinjaman. Semua memberitahu masalah kredit kad, pinjaman peribadi sebab terbeban nak bayar.
“Mereka seronok ambil pinjaman terutamanya kad kredit. Kadang masuk serentak sampai lima bank dan apabila sudah lepas memang tak fikir apa yang dibelanjakan.
“Awal-awal dulu alasan ambil sebab nak buat meniaga, tak mahu guna lagi lah, tetapi akhirnya guna juga sampai tersangkut.
PEMBAYARAN
“Boleh dikatakan 90 peratus belia gagal dari segi pembayaran balik selepas kebanyakan mereka tersangkut sehingga terdedah bankrap,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, Rosland berkata, perkara yang berlaku dalam kalangan belia itu bagaimanapun bukan mudah untuk diatasi.
Katanya, ini kerana mereka perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan disiplin yang tinggi sekiranya mahu membuat hutang.
“Hanya kena ada kebijaksanaan sendiri hutang tu membebankan dan kalau boleh elak hutang apa sahaja.
“Memang betul kalau tak hutang tak dapat, tetapi kena disiplin dan jangan tangguh bayar balik sebab setiap pembayaran itu ada tempoh serta tidak boleh suka-suka untuk ditangguhkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menambah, belia akan datang berkemungkinan terselamat daripada risiko bankrap selepas kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 dilepaskan serta merta mulai 1 Mac lepas.
Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) sebelum ini merekodkan sebanyak 269,654 kes kebankrapan ditadbir jabatan itu setakat Disember 2022.
Daripada angka itu, sebanyak 49,133 kes kebankrapan bagi tempoh 2018 sehingga Disember 2022 direkodkan. – UTUSAN










