Upah lumayan dorong empat penganggur simbah cat - Utusan Malaysia

Upah lumayan dorong empat penganggur simbah cat

BAHRIN MOHD. NOH menunjukkan barang rampasan daripada empat suspek yang disyaki melakukan khianat dengan menyimbah cat di kediaman peminjam ceti haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Upah lumayan berjumlah RM700 untuk sebuah rumah mendorong empat penganggur sanggup melakukan kerja ‘part time’ melakukan khianat dengan menyimbah cat merah di rumah peminjam ceti haram atau ah long sebagai sumber pendapatan. 

Walau bagaimanapun, pekerjaan yang mula dilakukan sejak awal Januari lalu berjaya dihidu polis dan mereka berjaya diberkas  selepas menyimbah cat di sebuah rumah teres di Kluang pukul 7.15 petang pada 8 Februari lalu. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd  Noh berkata, hasil risikan dan maklumat awam, empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 35 tahun berjaya ditahan di sebuah hotel bajet di Johor Bahru. 

Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek yang tinggal di Johor Bahru memperoleh pekerjaan itu secara dalam talian dipercayai daripada majikan warganegara Singapura. 

“Semakan turut mendapati salah seorang suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah selain orang dikehendaki polis daerah Muar. 

“Seorang lagi suspek turut dikehendaki polis Seri Alam serta mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan narkotik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kluang, hari ini. 

Dua lagi suspek, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing mempunyai satu dan dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah. 

Bahrin berkata, antara barangan yang dirampas ialah tujuh bungkusan plastik mengandungi cecair warna merah dipercayai cat, empat telefon bimbit pelbagai jenama, dua helai kertas putih tercatat alamat-alamat rumah yang dijadikan sasaran untuk disimbah cat dan sebuah kereta Perodua Myvi. 

Semua suspek kini ditahan reman selama lima hari hingga 14 Februari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya