Dua lelaki upahan ah long mengaku tidak bersalah bakar kereta

Dua lelaki upahan ah long mengaku tidak bersalah bakar kereta

KHAIRUL Helmy Abd Karim (kiri) dan Mohamad Irwan Abdul Halim didakwa melakukan perbuatan khianat dengan membakar dua buah kereta di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua lelaki yang diupah sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan membakar dua buah kereta, pada Mac dan April lalu.

Tertuduh, Khairul Helmy Abd Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa secara bersama telah melakukan khianat dengan api dengan cara menyimbah petrol dan membakar sebuah kereta jenis Honda Civic milik seorang lelaki hingga menyebabkan kerosakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Mawar 2/2, Persiaran Amanjaya, di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi, pada 20 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka turut secara bersama melakukan perbuatan serupa ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga milik individu lain di sebuah rumah di Jalan Anggerik 3/4, Padang Mahkota Jaya, di sini kira-kira pukul 4.30 pagi, 24 April lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh, sementara kedua-dua tertuduh diwakili Siti Haslina Hasbullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, serta menetapkan 21 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN