KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima lelaki dan merampas kira-kira 2,924 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) dalam dalam operasi di Subang Jaya dekat sini pada 8 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Rusdi Mohd Isa, tangkapan pertama melibatkan tiga individu dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank.
Katanya, tangkapan terbabit membawa kepada penahanan dua lagi lelaki di sebuah premis di Subang Jaya dekat sini.
“Siasatan awal mendapati lima lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 36 yang ditahan itu berperanan sebagai ‘collector’ dan ‘runner’ untuk sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen (ah long).
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas 2,924 keping kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM119,977, 14 telefon bimbit, satu set router, tiga kenderaan, enam cop getah, beg mengandungi dokumen perjanjian pinjaman, bagasi pelbagai dokumen pinjaman dan butiran individu, tiga sampul kad ATM, 14 keping kad nama, dua tablet, tiga komputer tiba dan dua komputer.
“Daripada jumlah keseluruhan kad ATM yang dirampas, 18 kad dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kes penipuan pelaburan. Elemen ini sedang disiasat lanjut,” katanya pada sidang akhbar Op Khas Kad ATM di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendedahkan individu yang ditahan menerima arahan untuk mengeluarkan wang dari penyelia mereka melalui aplikasi Telegram.
Jelasnya, mereka dikesan mengeluarkan wang sebanyak dua kali sehari dengan jumlah pengeluaran antara RM5,000 hingga RM8,000 sehari.
“Wang tersebut dibungkus dan dihantar ke alamat tertentu melalui perkhidmatan Lalamove atau secara serahan tangan melalui perjumpaan di tempat ditetapkan.
“Kesemua individu terbabit dikesan bekerja dengan sindiket terbabit antara enam bulan hingga dua tahun dengan pendapatan sebanyak RM2,500 hingga RM3,500 sebulan.
“Kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah reman terhadap mereka tamat pada 12 Ogos namun siasatan masih dijalankan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.- UTUSAN










