PUTRAJAYA: Mohamed Nizham Abdullah Hamidi antara seorang lagi nama yang disebut-sebut bakal memasuki gelanggang merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO bagi pemilihan parti kali ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menghantar borang pencalonan sedikit masa lagi sekali gus membarisi dua lagi calon lain yang sudah pun berbuat demikian.
Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Armand Azha Abu Hanifah sudah menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu dalam pemilihan sayap berkenaan yang dijadual berlangsung pada 11 Mac depan.
BORANG
“Saya belum hantar lagi, mungkin sedikit masa lagi,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia ketika ditanya sama ada beliau bercadang untuk menghantar borang pencalonan bagi pertandingan jawatan.
Mohamed Nizham mendapat perhatian ramai selepas beliau berucap membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 lalu.
Beliau secara lantang menggesa semua ahli akar umbi dan kepimpinan UMNO perlu sedar bahawa parti telah ditolak pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu dan tugas parti masa kini adalah untuk mencari punca sebenar mengapa ia ditolak pada dua pilihan raya.
Jelas Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan itu, UMNO perlu mengakui parti sudah gagal kerana melakukan kesilapan dalam menjaga kepentingan Melayu, sebaliknya asyik bergaduh sehingga lupa parti itu sedang memegang tampuk kuasa.
Mohamed Nizham sebelum ini juga lantang mengangkat suara anak muda terutama membela nasib belia di bandar.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pemuda dan EXCO Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Perebutan jawatan ketua Pemuda UMNO juga dikatakan menyaksikan saingan antara proksi Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang akan berundur, dan bekas timbalannya, Shahril Hamdan yang menjadi salah seorang daripada individu digantung enam tahun oleh parti itu baru-baru ini.
Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berpandangan, individu yang berhasrat memegang jawatan itu perlu mempunyai pendirian yang tegas dan tidak hanya menjadi ‘pak turut’ berani menerajui parti, lantang bersuara, mampu berdebat dan menyampaikan ucapan di forum antarabangsa. – UTUSAN










