Harga rumah mampu milik naik 25%? - Utusan Malaysia

Harga rumah mampu milik naik 25%?

TERDAPAT perbezaan di antara hartanah pegangan bebas dan pajakan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga rumah mampu milik baharu dijangka terus melonjak antara 20 hingga 25 peratus ekoran peningkatan terhadap permintaan dan kos bahan binaan.

Ini terbukti apabila Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor memaklumkan harga rumah mampu milik kategori A dari­pada RM42,000 kini naik kepada RM50,000 dan ka­tegori B daripada RM80,000 naik kepada RM100,000.

Kenaikan harga bagi beberapa kategori rumah mampu milik adalah dise­babkan peningkatan permintaan rumah berharga bawah RM300,000 yang didorong oleh dasar kerajaan yang menyasarkan pembinaan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025.

Malah, perbandingan tahun ke tahun terhadap indeks harga seunit bahan binaan terus mencatatkan peningkatan antara 1.8 peratus dengan 11.8 peratus pada Disember 2022 berban­ding bulan sama pada tahun lalu berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan.

DIJANGKA

Disebabkan itu, harga rumah juga dijangka terus meningkat sehingga tahun 2025 dengan kenaikan sehingga 10 peratus setiap tahun sekali gus menyaksikan selepas ini tiada lagi rumah kos rendah berharga RM200,000 atau ke bawah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia, Ishak Ismail berkata, permintaan terhadap rumah mampu milik sememangnya sedang meningkat ketika ini sehingga memberi kesan kepada harga rumah lebih mahal terutama RM300,000 ke atas.

Namun, katanya, harga yang dijual tidak akan kekal rendah kerana faktor tertentu seperti lokasi dan kos bahan binaan.

“Pembinaan perumahan mampu milik dilaksanakan dengan giat ketika ini mendorong pemaju mengambil perhatian terutama di Johor, Se­langor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang daripada terus membina rumah RM300,000 ke atas.

“Sebab itu, berlaku sedikit penurunan harga terhadap rumah yang tidak terjual dan harga menjadi stabil. Namun, harga rumah mampu milik akan naik berdasarkan lokasi se­perti berhampiran laluan stesen kereta api dan lain-lain kemudahan awam,” katanya ketika dihubungi.

RUMAH

Pada masa sama, katanya, harga rumah mampu milik akan meningkat dari semasa ke semasa kerana ia turut dipe­ngaruhi oleh pemaju yang me­netapkan harga pasaran.

“Keadaan pasaran akan mendorong kepada kenaikan harga berdasarkan permintaan terhadap rumah mampu milik,” katanya.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Reh­da) tahun lalu mencadangkan supaya kerajaan mengambil alih pembinaan rumah kos rendah bagi membantu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat bagi menstabilkan harga rumah di pasaran terbuka.

Sehingga tahun lalu, dianggarkan hampir 300,000 rumah mampu milik telah siap dibina oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk pembelian rumah mampu milik antaranya seperti Skim Rumah Pertamaku (MyHome) dan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit).

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan baru-baru ini berjanji akan membina sejumlah 83,728 rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Daripada jumlah itu, seba­nyak 22,209 unit rumah telah siap dibina manakala 47,637 unit lagi sedang dalam pembinaan baki sebanyak 13,882 unit lagi akan disiapkan menjelang akhir tahun 2025.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN