Anwar gembira kembali ke Port Dickson - Utusan Malaysia

Anwar gembira kembali ke Port Dickson

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan pelanggan di Warung Pak Salleh, Kampung Baru Sirusa, Port Dickson selepas beliau meluangkan masa makan tengah hari di gerai tersebut hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui gembira dapat kembali ke Port Dickson iaitu kawasan Parlimen yang telah diwakilinya selama empat tahun sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau memberikan komitmen untuk melihat projek-projek pembangunan di kawasan itu yang tertangguh sebelum ini ekoran pelbagai faktor dapat dipergiatkan semula.

“Port Dickson dalam keadaan baik, saya kenal masyarakat di sini, pegawai-pegawai dan pimpinan politik semua, tentera, polis, mereka berikan kerjasama amat baik dahulu, jadi saya patut datang sesekali apabila ada ruang dan untuk ucapkan terima kasih.

“Kita boleh terus mainkan peranan, membantu mana yang sesuai, bangunkan Port Dickson dan apa yang direncana dahulu tertahan kerana Covid-19 akan dipergiatkan semula,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau meluangkan masa untuk makan tengah hari di Warung Pak Salleh, Kampung Baru Sirusa di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu, Anwar tiba kira-kira pukul 12.55 tengah hari dan meluangkan masa hampir 20 minit di situ untuk menjamu selera dan beramah mesra dengan pelanggan di warung yang popular dalam kalangan penduduk di daerah ini.

ANWAR Ibrahim dan Aminuddin Harun bergambar bersama pekerja-pekerja Warung Pak Salleh di Kampung Baru Sirusa, Port Dickson, selepas meluangkan masa makan tengah hari di gerai berkenaan hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR.

Sementara itu, pengusaha gerai makanan tersebut, Azwan Azmi Ng, 34, berkata, gerai tersebut telah terlebih dahulu oleh datuknya, Allahyarham Salleh Abdullah sejak tahun 1970-an.

“Tentunya kami berbangga apabila Perdana Menteri sudi singgah untuk makan tengah hari di sini. Kami sajikan rojak untuk beliau, ia memang makanan popular dan utama di sini.

“Kali pertama beliau ke gerai ini semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 2018. Beliau datang ke sini lagi dan tentu sangat membanggakan kami,” katanya.

Perdana Menteri kemudiannya turut ke Masjid Kariah Bagan Pinang di sini untuk menunaikan Solat Jumaat.

Beliau tiba di masjid tersebut kira-kira pukul 1.25 petang dan disambut ahli jawatankuasa masjid berkenaan dan jemaah yang lain yang turut mengambil kesempatan beramah mesra dan bergambar bersama beliau.

Hari ini merupakan lawatan kali kedua Anwar ke Negeri Sembilan dengan kali pertama pada 13 Januari lepas di Seremban selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada bulan November tahun lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.