Tidak mudah tegur menteri, pegawai

Tidak mudah tegur menteri, pegawai

BORHAN DOLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan mekanisme yang jelas menyebabkan pegawai bawahan sukar menegur salah laku pegawai atasannya apatah lagi menteri.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah berkata, kerajaan perlu memperincikan mekanisme dan garis panduan yang jelas untuk tujuan itu jika berhasrat membenarkan perkara tersebut dilaksanakan.

Beliau berkata, mekanisme tersebut juga perlu memastikan segala aduan bebas daripada sebarang unsur penganiayaan, telus dan memastikan pelapor bertanggungjawab terhadap se­tiap tegurannya serta bukannya berniat jahat.

Tambah beliau, kerajaan sudah mempunyai sistem yang mana sebarang salah laku pegawai apatah lagi menteri tidak boleh sewenang-wenangnya di­tegur.

“Jadi, kita perlu lihat balik proses pelaporan itu. Sebagai contoh, yang berkuasa menteri dan saya pegawai bawahan. Kepada siapa saya hendak buat laporan itu nanti kerana akhir­nya kita sendiri akan ‘sangkut’.

“Sebab apa? Sebab awak boleh laporkan salah laku tapi siapa yang nak siasat? Ini kerana kadang-kadang laporan ini bukanlah laporan yang betul.

“Tambahan pula, kita perlu lebih adil bagi orang yang dituduh kerana adakalanya ia hanya sebuah persaingan sahaja,” katanya di sini baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, semua peringkat penjawat awam diminta tidak takut untuk melaporkan segala perbuatan salah laku pihak atasan yang didapati melanggar undang-undang.

Tegas beliau, negara tidak boleh menuju sebagai sebuah negara berjaya jika terdapat kebocoran dan ketirisan begitu banyak melibatkan pemberian komisen terlalu tinggi dan harga tidak berpatutan dalam mengendalikan kontrak kerajaan.

Dalam pada itu, Borhan berkata, adalah lebih baik Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi fokus kepada isu lain yang lebih penting terutama ekonomi negara.

Katanya, tanggungjawab me­nangani aduan sebaliknya perlu diserahkan kepada agensi atau badan pemantau lain.

“Kita perlu ingat Perdana Menteri perlu fokus kepada perkara besar sahaja. Bagaimana mahu menjana ekonomi sebagai contoh. Laporan kecil sepatutnya biar agensi sahaja yang uruskan.Tambahan pula kita pun ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai badan pemantau.

“Kalau kita biarkan atau letakkan semuanya pada bahu Perdana Menteri, beliau mungkin tidak mampu uruskannya,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN