Rundingan kerjasama PH-BN di Negeri Sembilan lebih mudah diselesaikan - Utusan Malaysia

Rundingan kerjasama PH-BN di Negeri Sembilan lebih mudah diselesaikan

RAFIZI Ramli sewaktu berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023 PKR Negeri Sembilan di Seremban, semalam.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Rundingan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka tidak berdepan kesukaran malah adalah dilihat lebih mudah diselesaikan berbanding di negeri lain.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberikan pandangan, kerjasama di antara kedua-dua parti tersebut boleh dimuktamadkan dengan mudah di negeri ini mengambil kira tiada isu besar yang boleh menjejaskannya termasuk berkaitan pengagihan kerusi yang akan ditandingi kelak.

“Prestasi pencapaian keputusan pilihan raya masing-masing parti dalam PH dan BN, rekodnya konsisten tidak ada sangat hendak bertelingkah siapa yang ada peluang lebih besar untuk menang, rekod itu agak jelas.

“Saya tidak  nampak akan ada isu dalam kita memuktamadkan dan memperklahulsi dalam kerjasama pilihan raya di Negeri Sembilan.

“Kekuatan setiap parti dan kawasan tumpuan lebih mudah di Negeri Sembilan, tidak banyak sangat (kerusi) bertindih seperti tempat lain, saya harap dalam rundingan itu dengan mengambil kira give and take, ia akan dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih mudah,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023 PKR Negeri Sembilan di sini malam semalam.

Yang hadir sama, Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Enam buah negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN adalah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Rafizi dalam pada itu menambah, kehadiran pemimpin kanan utama kedua-dua parti itu iaitu Aminuddin dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan juga dilihat membantu dalam usaha rundingan kerjasama berkenaan.

“Kedua-duanya watak yang senang dibawa berbincang dan mempunyai rekod kesetiaan yang lama dalam parti masing-masing.

Pandangan saya yang telah terlibat dalam banyak rundingan sama ada rundingan kerusi PH sebelum ini dan rundingan membentuk kerajaan perpaduan, ia agak mudah diselesaikan,” katanya lagi.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, PH memenangi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan daripada 36 kerusi keseluruhan. Baki 16 kerusi lagi dimenangi oleh BN.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya