Negeri Sembilan beri perhatian isu pencemaran jejas bekalan air Selangor - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan beri perhatian isu pencemaran jejas bekalan air Selangor

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi perhatian serius berhubung isu risiko berlakunya kejadian pencemaran di kawasan di negeri ini sehingga boleh menjejaskan bekalan air buat penduduk di negeri negeri jirannya, Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu, beliau telah meminta pihak jabatan dan agensi terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawal Selia Air (BKSA) untuk memantau dan tindakan sewajarnya agar perkara seumpamanya tidak berlaku.

“Untuk Selangor, ada sungai negeri itu yang bermula di Negeri Sembilan jadi itu antara perkara yang selalu Menteri Besar Selangor minta supaya kerajaan Negeri Sembilan untuk berikan perhatian.

“Saya sudah maklumkan kepada JPS, JAS supaya perkara-perkara tersebut diberikan perhatian kerana ia merupakan masalah masyarakat yang perlu dibantu, ia saling berkaitan dan melibatkan masyarakat yang ramai.

“Saya berharap agar masyarakat untuk sentiasa menjaga kebersihan sungai kerana ia penting kerana ia menjadi sumber air minuman kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Pada 24 Disember tahun lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi, Selangor dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi berpunca daripada kemalangan sebuah lori yang membawa muatan bahan tersebut di Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Oleh demikian, pencemaran bau dikesan berlaku di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir dan memaksa henti tugas di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Tumpahan kira-kira 1,000 liter pati minyak wangi itu menyebabkan berlakunya pencemaran dan oleh demikian, Air Selangor terpaksa menghentikan operasi LRA bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Insiden berkenaan menyebabkan lebih sejuta penduduk di 472 kawasan sekitar Selangor dan Putrajaya terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pada Oktober 2020 pula, kedua-dua LRA tersebut turut dihenti tugas ekoran berlakunya pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Pencemaran berkenaan dipercayai berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang angsa di Sungai Pajam, Negeri Sembilan serta dari kawasan Perindustrian Nilai 3 yang turut disyaki menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Batang Benar yang menjadi sumber air mentah kepada Sungai Semenyih.

Kedua-dua sungai yang terletak di sempadan negeri Selangor itu telah mengalami pencemaran bau sehingga menjejaskan kualiti air Sungai Semenyih.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan menawarkan diskaun 25 peratus bagi bayaran premium pembangunan tanah sebagai galakan kepada sektor perniagaan di negeri ini.

Jelas beliau, diskaun berkenaan diberikan kepada pemohon yang menjelaskan bayaran premium dalam tempoh yang ditetapkan iaitu antara sebulan hingga tiga bulan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya