PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun membidas dakwaan pihak lawan yang mahu meneruskan ‘agenda pembangunan yang tergendala’ di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH)
Beliau juga sebaliknya mencabar mereka membuktikan secara fakta agenda yang dimaksudkan.
Aminuddin berkata, sepanjang lima tahun PH menerajui Negeri Sembilan, pihak berkenaan masih gagal menunjukkan agenda pembangunan yang didakwa tidak dapat dilaksanakan.
“Apa yang tergendala? Kalau mereka (pihak lawan) sendiri ‘copy-paste’ apa yang PH lakukan, maknanya perkara itu telah dilaksanakan.
“Ceritalah pasal agenda tertinggal, tapi apa dia? Buktikan, tuliskan. Sampai hari ini mereka tidak tunjukkan apa yang tertinggal,” katanya selepas sesi ziarah rumah ke rumah di Bandar Baru Sunggala hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan BN tidak meniru manifesto PH, sebaliknya mahu meneruskan agenda pembangunan yang tergendala.
Aminuddin turut menyifatkan hubungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘drama politik’ yang didakwa bertujuan meraih undi sehingga mengelirukan rakyat.
Katanya, meskipun kedua-dua gabungan itu dilihat tidak mempunyai persamaan, mereka sebelum ini tetap mengadakan pertemuan dan menjalinkan kerjasama sehingga menyaksikan 11 kerusi diperuntukkan kepada PN untuk ditandingi.
“Semua orang tahu mereka seolah-olah tidak ada persamaan tapi dalam masa yang sama mereka giat berjumpa sebelum ini, giat bekerjasama yang akhirnya memberi 11 kerusi kepada PN untuk bertanding,” katanya. – UTUSAN










