KUALA LUMPUR: Pembersihan besar-besaran dalam UMNO tidak akan membawa perubahan sebaliknya mengundang perpecahan yang lebih kritikal dalam parti terbesar orang Melayu itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir berkata, UMNO yang dilihat ‘hilang taring’ untuk menarik sokongan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan lagi pilihan dalam kalangan pengundi terutamanya golongan muda 18 tahun ke atas.
“Kita boleh nampak kepimpinan yang ada tidak mahu dikritik dan tidak mahu tinggalkan tempat (jawatan). Jadi bila ada ahli membantah atau ada idea berbeza dengan Majlis Tertinggi, mereka rasa tergugat, jadi kita sudah dapat ramal akan ada muka-muka yang disingkirkan.
“UMNO ini sudah berpecah, satu nak demokrasi dan satu lagi nak pegang kuasa. UMNO perlu faham yang parti itu bukan lagi pilihan tetapi hanya dilihat sebagai satu parti ada tapi dah hilang taringnya.
“Ini bermakna apa sahaja yang UMNO buat, lemah atau tidak, terjejas atau sebaliknya, UMNO memang lemah dan terjejas pun, apa sahaja tindakan pimpinan parti, sama ada ia akan memburukkan keadaan atau dapat mengekalkan kuasa mereka semata-mata, itu sahaja,” katanya yang diminta mengulas tentang langkah ‘pembersihan’ dalam parti itu, semalam.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, UMNO akan melakukan ‘pembersihan’ parti secara besar-besaran, dengan memberi tumpuan mereka yang didapati mensabotaj parti serta calon pada PRU15.
“Saya kata dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan parti secara besar-besaran, termasuk mereka yang sabotaj parti dan calon parti pada PRU15, dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri (sabotaj diri sendiri) ketika pilihan raya diadakan.
“Bila besar-besaran ini maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa insya-Allah malam esok akan terasa,” katanya dilapor sebelum ini.
Dalam pada itu, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, isu pembersihan dalam UMNO ini dilihat dalam pelbagai tafsiran sehingga ada yang menyifatkan kritikan terhadap presiden memberi gambaran kelemahan kepada sesebuah parti.
Bagaimanapun jelasnya, seseorang ahli parti yang mengkritik kepemimpinan presiden tidak boleh dikenakan tindakan kerana ia tidak boleh dianggap sebagai tindakan melemahkan parti.
“Ada interpretasi pembersihan dalam UMNO, nak buang semua yang kritik Presiden, kritik presiden sahaja tidak membolehkan ahli itu dibuang, kecualilah jikalau ahli parti tersebut sabotaj seperti yang disebut Presiden, sabotaj seperti menyokong pembangkang dalam pilihan raya.
“Untuk kritik presiden itu sahaja tidak boleh didefinisikan sabotaj kerana setiap ahli UMNO mempunyai menggunakan kuasa atau hak untuk mengkritik pentadbiran parti itu termasuk presiden dan timbalan presiden. Jadi, bagi saya kalau baca kenyataan presiden UMNO, mereka yang telah mensabotaj parti dan bukan semata kritik presiden, tindakan disiplin perlu diambil,” katanya. – UTUSAN










