PETALING JAYA: Tindakan membakar al-Quran di Sweden merupakan agenda tersembunyi pihak tertentu yang sengaja untuk memerangkap umat Islam agar membalas tindakan tersebut dengan serangan tertentu bagi mencetuskan kebencian dunia terhadap agama tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis antarabangsa, Dr. Chandra Muzaffar berkata, perbuatan itu bukan kali pertama yang didalangi oleh segelintir pihak tertentu kerana selama ini pernah berlaku pelbagai serangan dilakukan termasuk menghina Nabi Muhammad SAW.
Ujarnya, jika umat Islam terperangkap dengan permainan tersebut dengan melakukan serangan balas, tindakan itu akhirnya secara langsung akan menambahkan Islamofobia.
“Tujuan mereka berbuat demikian kerana mahu memerangkap kita agar kita melakukan tindakan balas kepada agama lain yang akhirnya dunia akan mencemuh kita dengan kononnya Islam merupakan agama keganasan.
“Jadi dunia Islam termasuk rakyat Malaysia sendiri jangan terperangkap dengan helah segelintir kumpulan yang sengaja untuk mengeruhkan keadaan dan mahu meningkatkan Islamofobia khususnya umat Islam di negara majoriti bukan Islam,” katanya.
Beliau mengulas tindakan membakar al-Quran yang dilakukan di Sweden oleh seorang politikus sayap kanan, Rasmus Paludan yang menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm dengan bertindak membakar al-Quran.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Ketika mengulas kewajaran boikot produk keluaran Sweden, Chandra menjelaskan, perbuatan itu selama ini tidak pernah memberikan sebarang hasil kepada Islam kerana penghinaan terhadap agama berterusan berlaku.
Justeru beliau berpandangan, seluruh negara Islam bukan sahaja harus mengecam dan menentang tindakan membakar al-Quran, tetapi bangkit menentang Islamofobia dengan menjelaskan keistimewaan serta nilai murni terkandung dalam agama tersebut.
Jelasnya, perbuatan membakar al-Quran berpunca daripada sikap Islamofobia apabila mereka yang amat membencikan Islam cuba mencetuskan provokasi bagi meningkatkan ketegangan sejagat.
“Oleh itu, peranan kita sebagai umat Islam perlu bangkit menangani isu ini dan menangani sebarang kebencian agama yang muncul daripada tindakan ini. Tonjolkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain adalah sifat yang sangat ditekankan dalam Islam dan ditunjukkan sebagai contoh terbaik oleh baginda Rasulullah.
“Anda boleh lihat sendiri di Malaysia selaku negara majoriti Islam, kita tidak pernah menghina agama lain dan keadaan ini menyebabkan kita boleh hidup bersatu-padu dan harmoni, perkara ini berlaku sejak zaman kegemilangan Tamadun Islam dahulu lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa satu pasukan bertindak khas diwujudkan segera di peringkat dunia bagi melakar agenda bertindak mengendurkan Islamofobia.
Selain itu, PUM turut mengucapkan syabas di atas ketegasan Malaysia dalam perbuatan berkenaan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.
Katanya, ia adalah pendirian konsisten pemimpin Malaysia sejak sekian lama yang ditunjukkan pemimpin terdahulu dan dipertegaskan lagi oleh Perdana Menteri ke-10 itu.
“Seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit menangani isu Islamofobia dan sebarang kebencian agama yang muncul daripada tindakan ini,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










