Anak terharu terima faedah SKSSR arwah ibu - Utusan Malaysia

Anak terharu terima faedah SKSSR arwah ibu

V. Sivakumar (empat dari kiri) bersama waris suri rumah pencarum SKSSR termasuk Alif Danial (lima dari kanan) pada Majlis Penyerahan Faedah SKSSR Kepada Waris Suri Rumah Berinsurans di Wisma Perkeso, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang anak tunggal tidak menyangka bahawa dia akan menerima faedah hasil Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disertai oleh arwah ibunya.

Alif Danial Samdin, 18, berkata, dia juga tidak mengetahui kerajaan ada menyediakan skim berkenaan yang akhirnya turut dapat membantu dirinya untuk tujuan perbelanjaan harian dan pendidikan.

“Ibu saya, Siti Noraseyah Abu Hassan meninggal dunia pada 14 Disember lalu akibat kanser. Bantuan ini sangat membantu saya kerana sememangnya selepas perceraian ibu dan ayah, saya hanya tinggal bersama ibu sahaja.

“Saya memang tidak tahu kerajaan ada menyediakan bantuan seperti ini. Hanya selepas dijelaskan oleh kakitangan Perkeso barulah saya tahu akan mendapat bantuan berupa Faedah Pengurusan Mayat (FPM) bernilai RM2,000 dan pencen penakat sebanyak RM300 sebulan selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Perkeso Negeri Sembilan di Wisma Perkeso di sini hari ini,

Dia merupakan salah seorang daripada empat waris Suri Rumah Berinsurans (SRB) yang menerima faedah skim berkenaan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pada majlis yang diadakan hari ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudiannya, Sivakumar berkata, sekurang-kurangnya tiga juta orang wanita di negara ini layak mencarum SSKSSR di bawah Perkeso.

Jelasnya, dalam tempoh kurang dua bulan pelaksanaan, dianggarkan 140,000 wanita berusia di bawah 55 tahun telah berdaftar di bawah skim berkenaan yang dilaksanakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) berkuat kuasa 1 Disember tahun lalu.

V. Sivakumar (tengah) dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Faedah SKSSR Kepada Waris Suri Rumah Berinsurans di Wisma Perkeso, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Menurut beliau, skim itu bertujuan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah terhadap bencana domestik, keilatan ataupun kematian sewaktu menguruskan rumah tangga.

“Demi menjaga kebajikan golongan suri rumah terutamanya daripada golongan rentan, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk menaja caruman SKSSR kepada 150,000 orang suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum di bawah i-Suri KWSP. 

“Susulan inisiatif kerajaan itu, Perkeso telah menjalankan rujuk silang data 135,357 penerima e-Kasih yang mencarum dgn i-Suri dengan data dari Jabatan Pendaftaran Negara. 

“Hasil daripada proses tersebut, Perkeso mendapati seramai 37 orang suri rumah yang dilindungi SKSSR telah meninggal dunia dalam tempoh 1 Disember tahun lalu sehingga 11 Januari lalu. Ini sekali gus melayakkan waris kepada suri rumah terbabit menerima manfaat SKSSR,” katanya.

Ujar Sivakumar lagi, di bawah Akta 838, waris kepada SRB yang meninggal dunia layak menerima FPM sebanyak RM2,000 manakala bayaran berkala pencen penakat sebanyak maksimum RM300 sebulan disediakan mengikut kelayakan syer orang tanggungan.

“Faedah berkenaan dibayar kepada orang tanggungan seperti duda dan anak-anak yang layak apabila SRB meninggal dunia sebelum mencecah usia 55 tahun,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya