Polis buru lelaki terlibat kes curi gelang tangan emas - Utusan Malaysia

Polis buru lelaki terlibat kes curi gelang tangan emas

PIHAK polis kini giat mengesan Muhammad Haikal Izhar yang disyaki terlibat dalam kejadian curi seutas gelang tangan di sebuah kedai emas di pekan Port Dickson pada 7 Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Polis kini giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian kecurian seutas gelang tangan emas di sebuah kedai emas di pekan Port Dickson di sini pada 7 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, suspek dikenali sebagai Muhammad Haikal Izhar, 20 dan beralamat di Taman Nusari Bayu, Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Menurut beliau, pada hari kejadian kira-kira pukul 1 petang, pihak polis menerima aduan dari seorang wanita yang merupakan pembantu jurujual kedai emas terlibat.

Wanita berusia 39 tahun itu memaklumkan pada pukul 11.38 pagi hari yang sama, dia telah didatangi satu pasangan yang ingin membeli barang kemas dan telah mengambil seutas gelang tangan emas.

“Selepas itu, suspek tiba-tiba telah membawa lari gelang tangan tersebut dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza. Anggaran kerugian adalah lebih kurang RM15,000.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang wanita di sebuah pangsapuri di Rawang, Selangor pada 16 Disember yang lalu. Suspek yang berumur 22 tahun itu mengaku mencuri gelang tangan tersebut untuk melangsaikan hutang kereta milik teman lelakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, hasil penangkapan tersebut, pihak polis telah berjaya merampas kembali gelang tangan emas yang telah dipajak di sebuah kedai pajak gadai di bandar Seremban.

Ujar beliau, wanita berkenaan telah direman selama empat hari bermula 17 Disember dan telah dibawa ke Mahkamah Port Dickson bagi dituduh dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan seterusnya dijatuhi hukuman penjara selama sehari dan denda RM7,000. 

“Pihak polis juga masih mengesan seorang suspek masih bebas merupakan teman lelaki kepada suspek yang telah ditangkap yang turut terlibat dalam kes kecurian ini. 

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd. Hazizi Abas di talian 019-3471916 atau 06-647 2344,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya