LANGKAWI: Rakan kepada dua beradik yang ditemukan lemas di Pantai Chenang, di sini semalam serik untuk mandi di pantai selepas insiden yang menimpa mereka.
Sivaprakash Naidu Mavhiraj, 25, berkata, semasa kejadian, dia bersama Ravishangkar Rajan, 26, dan Juwaras Rajan, 22, sedang bermain air di kawasan air separas pinggang sahaja dan cuaca masih lagi cerah.
“Tiba-tiba kami dikejutkan dengan ombak besar yang datang dari arah belakang tanpa kami sedari sebelum kami ‘ditarik’ ke laut.
“Saya ingat saya nampak kedua mereka di sebelah kiri saya, namun saya tidak dapat capai mereka dan ketika itu saya sedari kaki saya tidak lagi berpijak di atas pasir, jadi saya berusaha untuk berenang semula ke pantai.
“Bila saya hampir ke pantai, ada seorang operator jetski membaling jaket keselamatan kepada saya, sebelum saya memberitahu mengenai dua lagi kawan saya masih hilang di laut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini, semalam.
Sivaprakash berkata, operator jetski yang tidak dikenali itu membawa jetskinya dan meronda di sekitar kawasan tersebut namun memberitahu dia tidak menemukan dua beradik tersebut.
Tambahnya, dia kemudian mencari seorang lagi rakan mereka, Jeyakumar Ravatharan, 24, yang tidak turun bermain air bersama dan menyedari dia telah dihanyutkan jauh daripada lokasi mereka mula turun ke dalam air.
Jelasnya lagi, mereka merupakan rakan sejak kecil lagi kerana tinggal di kejiranan yang berhampiran, dan kehilangan dua beradik itu amat mengejutkan.
“Saya rasa serik untuk mandi laut lagi, sehingga sekarang pun saya masih boleh dengar bunyi ombak yang memukul kami semasa kami ditarik ke laut,” ujarnya.
Tambahnya, kedua beradik itu juga pertama kali ke Langkawi dan dia yang mencadangkan kepada mereka semua untuk ke sini.
Dia berkata, mayat mereka akan dibawa balik untuk disempurnakan mengikut kepercayaan mereka setelah selesai bedah siasat. – UTUSAN










