Kabinet diumum hari ini - Utusan Malaysia

Kabinet diumum hari ini

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kabinet kerajaan perpaduan terus menjadi tanda tanya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum membariskan menterinya namun persoalan itu dijangka terlerai seawal-awalnya hari ini.

Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berangkat ke luar negara bermula Sabtu ini, sekali gus memberi petanda bahawa pengumuman Kabinet akan dibuat secepat mungkin.

Jika tidak, Anwar kemungkinan besar mengumumkan se­narai menteri Kabinet minggu hadapan, dengan sesi angkat sumpah diadakan selepas Seri Paduka pulang ke tanah air.

Walaupun tiada pihak yang mengesahkan spekulasi tersebut, beberapa sumber dalaman memberi bayangan bahawa Kabinet baharu akan diumumkan hari ini.

Menguatkan pengumuman tersebut apabila Anwar difahamkan tiada program luar semalam sebaliknya berada di pejabatnya dipercayai sebagai persediaan mengumumkan Kabinet beliau.

Satu sumber berkata, saiz Kabinet dikurangkan sehingga 60 peratus berbanding kerajaan terdahulu iaitu hanya terdiri daripada 25 ahli Jemaah Menteri.

Selain itu, dua timbalan perdana menteri akan dilantik iaitu pimpinan daripada dua blok terbesar selain Pakatan Harapan (PH) iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

AGONG

Kelmarin, Anwar julung kali menghadap Agong sebagai Perdana Menteri, selepas dilantik memegang jawatan itu minggu lalu iaitu sehari lebih awal berbanding hari Rabu. Tindakan Anwar itu turut dikaitkan dengan kesediaan Anwar mengumumkan Kabinet beliau

Selepas seminggu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada Khamis minggu lalu, Anwar belum mengumumkan Kabinet, dipercayai kerana masih berbincang dengan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan dan memikirkan keadilan kepada mereka.

Jika mengambil kira situasi ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7 selepas PRU14, beliau mengumumkan senarai penuh barisan Kabinet lapan hari selepas mengangkat sumpah sebagai mengetuai kerajaan.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir terlebih dahulu mengumumkan tiga jawatan kementerian yang paling kanan dua hari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei 2018.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengambil tempoh lebih kurang sama mengumumkan senarai Kabinet pimpinannya iaitu selepas lapan hari dilantik Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020 ekoran peletakan jawatan Dr. Mahathir pada 24 Februari 2020.

Tempoh lebih singkat diambil Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentuk Kabinet beliau iaitu s enam hari selepas dilantik Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021.

Kelewatan pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu ini ekoran pelantikan Perdana Menteri yang tertangguh enam hari ekoran ketiadaan gabungan parti politik menang majoriti 112 kerusi, mengakibatkan Parlimen tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun, kekusutan itu dile­raikan Yang-di-Pertuan Agong melalui cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dike­tuai PH dengan sokongan parti gabungan lain tidak termasuk Perikatan Nasional (PN).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN