Sivarasa alami masalah suara, minta PH fokus menang  PRU15

Sivarasa alami masalah suara, minta PH fokus menang  PRU15

R. SIVARASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyandang Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa mengesahkan faktor kesihatan menjadi antara punca beliau tidak dicalonkan semula untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Cabang Sungai Buloh itu berkata, ini kerana beliau mengalami masalah dengan pita suaranya sejak tiga bulan yang lalu. 

Sehubungan itu, katanya, beliau akur dengan keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim biarpun Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli mengakui jawatankuasa calon mencadangkannya untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh.

“Sepanjang tiga bulan yang lalu, saya menghadapi masalah dengan pita suara saya dan kini menggunakan speech amplifier untuk membantu dan melindungi suara saya. 

“DSAI (Anwar) telah membangkitkan kebimbangan tentang isu kesihatan yang dialami dan sama ada saya boleh menguruskan kempen (pada PRU15). Saya berbeza pandangan dengannya dan menjelaskan cara saya menguruskan kempen secara berbeza dengan mengambil kira keadaan suara saya.

“Sehingga pagi Jumaat lepas ( 28 Oktober ) nama saya kekal sebagai calon Sungai Buloh. Kira-kira pukul 5 petang pada hari itu, saya menerima mesej daripada DSAI mengatakan beliau telah memutuskan bahawa saya tidak akan menjadi calon selepas perbincangan lanjut. DSAI sudah cuba menghubungi sebelum mesej,  tetapi saya tidak dapat menerima panggilan itu.

“Saya menerima sepenuhnya keputusan DSAI selaku ketua parti. Beliau mempunyai hak untuk membuat keputusan akhir dengan mengambil kira keadaan kesihatan saya dan sebarang faktor lain yang beliau anggap relevan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

DICALONKAN

Dalam pada itu, Sivarasa meminta agar pertikaian beliau tidak dicalonkan itu dapat dihentikan kerana apa yang lebih penting adalah untuk menumpukan kemenangan PH membentuk Kerajaan Persekutuan. 

“Hakikat bahawa Khairy Jamaluddin akan menjadi calon Barisan Nasional (BN) telah kita ketahui selama beberapa hari, dan ia sememangnya dibawa ke perhatian saya oleh DSAI.

“(Namun), saya minta agar polemik saya yang tidak menjadi calon ini dihentikan. Ia lebih penting untuk memberi tumpuan kempen untuk PH memenangi Putrajaya,” jelasnya. 

PKR sebelum ini mencalonkan Timbalan Ketua Penerangan 1, Datuk R. Ramanan di Parlimen Sungai Buloh, namun memberi bayangan parti itu berkemungkinan menukar calon selepas BN menamakan Khairy yang juga penyandang Menteri Kesihatan sebagai calon di kawasan itu.

Rafizi pada sidang medianya semalam mengakui beliau dan jawatankuasa calon mencadangkan Sivarasa untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh.

Bagaimanapun, beliau berkata, Presiden PKR mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu dan Rafizi menghormatinya kerana kuasa menetapkan calon adalah kuasa Presiden dalam mana-mana parti sekalipun. 

Katanya, perbincangan mengenai calon Sungai Buloh adalah antara yang paling panjang dan rumit sepanjang proses memilih calon.

Pada PRU-14, Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh Sivarasa selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh dari PAS, A Prakash Rao mewakili BN dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN