PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) meminta pimpinan Pas untuk berhenti mengajak pengundi memusuhi UMNO terutamanya berkaitan kerjasama sulit gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, ini kerana pimpinan UMNO tidak pernah menyebut hasrat untuk menyertai ‘khemah besar’ PH, berbeza dengan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhasrat melakukan kerjasama itu.
“Saya dengan ikhlas memohon kepada pimpinan Pas berhentilah mengadu domba tentang UMNO. Berhentilah dari terus jadi ‘kuda tunggangan’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sedang memperalatkan jentera Pas. Pimpinan Pas tuduh pemimpin UMNO mahu bekerjasama dengan ‘khemah besar’ PH sangat tidak benar.
“Pemimpin UMNO tidak pernah pun menyebut hasrat menyertai ‘khemah besar’ PH. Konon pimpinan Pas dapat maklumat. Dari mana maklumat itu diperoleh? Adakah dari Bersatu? Atau dari satu dua ‘gunting dalam lipatan’ dalam UMNO? Jika begitu kaedahnya tak ‘dapek’ UMNO nak menolong.
“Apakah pimpinan Pas terlupa Pengerusi PN yang pernah menyatakan hasrat bekerjasama dalam ‘khemah besar’, namun tidak kesampaian kerana PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) masing-masing mempunyai agenda serta muslihat `tersendiri’.
“Jadi, mengapa pimpinan UMNO pula yang dituduh oleh pemimpin Pas mahu bekerjasama dengan PH? Ahli Pas bernasib baik muslihat Pengerusi PN tidak kesampaian jika tidak tentu mereka telah pun kembali ke pangkuan DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sidang akhbar mendakwa, sebahagian pemimpin UMNO sengaja mengatur strategi bagi mengecilkan kemenangan BN pada PRU15 sebagai sebahagian daripada langkah untuk membentuk kerjasama dengan PH selepas berakhir hari pengundian.
Menurut Abdul Hadi, tindakan tersebut ‘diatur’ oleh sebahagian pemimpin UMNO bagi menyelamatkan diri masing-masing.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi UMNO berkata, pimpinan Pas dilihat semakin tersasar daripada nilai politik budiman sejak bersama PN.
Katanya, ia berkemungkinan akibat terpengaruh dengan budaya politik tidak sihat dan curang sahabat baharu.
“Nampaknya hanya ahli akar umbi Pas yang dapat memperbaiki parti mereka daripada terus hanyut.
“Ahli akar umbi Pas teruslah bekerjasama memberi kemenangan kepada BN pada PRU15. Insya Allah kemuafakatan itu akan memberi kesan domino memulihkan politik Pas yang kian tersasar,” katanya. –UTUSAN










