RCI Wang Kelian: Agensi banyak tapi tiada penyelarasan - Utusan Malaysia

RCI Wang Kelian: Agensi banyak tapi tiada penyelarasan

PemandanganKem Penempatan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditemui di Bukit Wang Perah, Wang Kelian pada tahun 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Koordinasi antara agensi penguatkuasaan yang bertugas di sempadan lemah selain sehingga mudah dibolosi antara rumusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar 139 mayat di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada 2015.

Laporan RCI setebal 184 mu­ka surat tersebut didedahkan kepada umum menerusi laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Ia memperincikan kronologi penemuan kem, siasatan, kawalan sempadan dan tindak balas pelbagai agensi penguatkuasaan terhadap penemuan kubur besar serta kem transit tersebut.

Menurut laporan itu, sempa­dan darat Malaysia-Thailand antara Wang Kelian hingga ke Bukit Kayu Hitam mudah dibolosi walaupun ada pagar kesela­matan, tembok, pos kawalan serta jalan keselamatan.

Kata laporan itu, perkara ter­sebut disebabkan rondaan tidak mencukupi, pagar kawat duri mudah dipotong, ketiadaan ka­mera litar tertutup (CCTV), pagar tidak disenggara dan tiada penduduk di kawasan sempadan Malaysia boleh bertindak sebagai pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan.

CCTV

Selain itu, kata laporan tersebut, CCTV hanya terdapat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di kawasan sempadan te­tapi kebanyakannya rosak dan tidak berfungsi.

“Selain sebahagian besar kawasan sempadan negara belum membangun dan berhutan. Keadaan ini memberi ruang kepada penyeludupan sama ada manusia, barangan, haiwan dan tumbuhan. Ini faktor utama menyumbang kepada kejadian di Wang Kelian,” kata laporan tersebut.

Menerusi laporan itu juga, RCI mendapati koordinasi antara agensi penguatkuasaan yang bertugas sangat lemah.

Ia membabitkan Pasukan Ge­rakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksen) dan beberapa agensi lain.

“Agensi-agensi yang bertugas berpegang kepada penugasan atau core business sendiri dan menyukarkan koordinasi kawalan sempadan yang mantap.

“Peranan pelbagai agensi kawalan sempadan membabitkan beberapa lapisan ini boleh melemahkan tindakan menjaga keselamatan terutamanya de­ngan ketiadaan koordinasi,” katanya.

Menurut laporan itu, sempadan Malaysia-Thailand ketika ini dikawal PGA, PDRM dan ATM mengikut kawasan ditetapkan Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan.

“Anggota yang ditempatkan tidak mencukupi, ditambah kekurangan peralatan dan kelengkapan terutama kende­raan bagi tujuan rondaan,” katanya.

PATI

Tambah laporan itu, penyeludupan dan kematian pendatang asing tanpa izin (PATI) itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa mengambil langkah lebih proaktif dalam pengawalan sempadan.

“Ia tidak memerlukan usaha yang gigih untuk mengesan apa yang berlaku di Bukit Wang Burma seperti yang ditunjukkan oleh S1 (Saksi pertama RCI, Koperal Mat Ten iaitu anggota PGA yang menemui kem di Bukit Wang Burma).

Apa yang perlu ada dalam kalangan pegawai penguat kuasa ialah sikap dedikasi, komitmen dan daya imaginasi dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Sementara itu, dalam pengurusan kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, suruhanjaya itu mendapati terdapat beberapa jabatan dan unit di bawah PDRM yang terbabit pada tahap yang berbeza.

Katanya, terdapat kelemahan dalam koordinasi dalaman PDRM dalam melaksanakan operasi ini yang dapat dilihat melalui gerak kerja dan maklumat disalurkan antara jabatan dan unit mengenai penemuan kem dan kubur terbabit.

“Terdapat kelompongan da­lam proses penyaluran dan per­kongsian maklumat yang mana tinjauan dilaksanakan beberapa kali sebelum tindakan selanjutnya diambil. Ini dilihat menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Tambah laporan itu, pihak penguat kuasa juga gagal mengambil maklum, menganalisis dan memahami trend kemasukan PATI serta mengambil ringan kemasukan mereka yang berterusan pada skala yang besar sepanjang 2012 sehingga 2015.

Utusan Malaysia pada 3 Ogos lalu melaporkan persoalan mengenai laporan RCI berkenaan yang dikatakan telah siap bagaimanapun terus kekal menjadi tanda-tanya apabila tidak didedahkan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN