Apa pendirian PH, PN isu Tommy Thomas?

Apa pendirian PH, PN isu Tommy Thomas?

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) belum mengeluarkan  pendirian masing-masing setelah 48 jam laporan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didedahkan kepada umum.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sikap itu adalah sesuatu yang janggal sedangkan PN dan PH seringkali bercakap soal kebebasan hakim. 

Berbanding kerajaan BN bermula zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berusaha dan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman pada 2009 bagi memastikan hakim-hakim yang dilantik bebas daripada campur tangan politik.

“Tetapi bermula zaman PH, lantikan hakim-hakim ini ditentukan oleh Peguam Negara dan Perdana Menteri yang sudah tentunya mempunyai kepentingan tersendiri. Kita tidak mempertikaikan kewibawaan para hakim atau keputusan yang mereka telah buat dalam kes-kes tertentu. Itu adalah isu yang berbeza.

“Yang berlaku sekarang adalah imej kehakiman. Bagaimana dunia luar dan rakyat melihat negara kita sekiranya hakim-hakim utama didakwa mendapat lantikan melalui tekanan politik pihak tertentu? Tapi nampaknya PH dan PN berdiam diri, langsung tidak berani mengutuk sebarang dakwaan Tommy yang telah mencalarkan imej keadilan negara,” katanya dalam Facebook beliau semalam.

MERUMUSKAN

Sebelum ini pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Tommy merumuskan bekas Peguam Negara itu mahu Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mahathir mengikut arahannya dengan cara bertentangan undang-undang di dalam soal pelantikan hakim-hakim utama negara.

Menurut Asyraf Wajdi, sikap berdiam diri itu menunjukkan PH dan PN termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya pilih bulu dan hanya menjaja konsep integriti untuk memburukkan pihak lawan. 

“Tetapi tidak berani mempertahankan integriti itu hari ini apabila situasi tidak memihak kepentingan politik mereka. UMNO tidak pernah memilih-milih integriti dan kami sanggup mengakui kesilapan dan memperbaikinya. 

“UMNO mengakui pada zaman Perdana Menteri keempat dahulu, kerajaan telah bersikap tidak adil kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Saleh Abas dan lima yang lain melalui pembayaran ex gratia pada 2008,” katanya.

Berbanding UMNO, kata Asyraf Wajdi, pihaknya mengakui kerosakan imej sistem kehakiman dan memperbaikinya melalui siasatan Suruhanjaya Diraja pada 2007 dan kemudian menghasilkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman agar lantikan hakim adalah bebas daripada pengaruh politik

Menurutnya, UMNO sentiasa mengakui dan memperbaiki diri walaupun kesilapan itu dibuat oleh generasi lepas yang telahpun meninggalkan parti. 

“Tetapi PH dan PN nampaknya amat hipokrit dan bersikap selektif. Sehingga tidak berani menyatakan pendirian tegas dalam isu Tommy. Inilah wajah sebenar kedua-dua PH dan PN,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN