Sektor PKS terjejas kurang 500,000 pekerja

Sektor PKS terjejas kurang 500,000 pekerja

SEKTOR pertanian antara yang terkesan akibat daripada kekurangan pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas ekoran kekurangan 500,000 pekerja yang sebelum ini dalam kalangan warga asing.

Sektor yang terlibat adalah pertanian, penternakan, perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan dan pembuatan.

Presiden Kebangsaan PKS Malaysia, Ding Hong Sing berkata, situasi itu disebabkan dua juta pekerja asing dalam industri berkenaan sama ada mempunyai permit atau sebaliknya pulang ke negara masing-masing sebelum ini.

Katanya, meskipun sektor ekonomi sudah dibuka, PKS belum menerima kemasukan pekerja asing manakala orang tempatan yang kurang berminat mengisi kekosongan itu menambah beban masalah kelompongan pekerja tersebut.

“Selepas sektor ekonomi dibuka, kita terima banyak pesanan tetapi tak ada tenaga kerja untuk buat kerja sebab pekerja asing yang pulang belum masuk kembali.

“Ada usahawan PKS sampai 50 peratus tak boleh supply produk sama ada pasaran eksport atau tempatan yang melibatkan jumlah jutaan ringgit kerana pengeluaran terjejas teruk.

“Sekarang ini pun bukan senang mahu cari pekerja tempatan. Mereka lebih berminat kerja sebagai penghantar atau bekerja di Singapura berbanding di kilang PKS yang kebanyakannya menggunakan tenaga manual, bukannya bergantung kepada mesin semata-mata.

“Saya sebelum ini sudah cadangkan kepada kerajaan yang PKS perlukan pekerja asing, tetapi minggu lepas (baru diluluskan) 400,000 permohonan (untuk semua sektor). Sekarang tak tahu berapa jumlah yang masuk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Minggu lalu, media melaporkan, kelewatan dalam proses di negara sumber dan mekanisme ejen menyebabkan hanya kira-kira 400,000 pekerja asing memasuki Malaysia sejak Januari tahun ini untuk semua sektor ekonomi.

Hong Sing berkata, kekurangan tenaga pekerja dalam industri PKS itu sangat memberi kesan terhadap pengeluaran produk usahawan terutama dalam pertumbuhan ekonomi yang mencabar.

Katanya, ini kerana usahawan PKS juga perlu menanggung beban kenaikan gaji minimum yang tinggi dalam keadaan pengeluaran produk berkurangan.

“Pengeluaran PKS sudah tak boleh buat apabila sektor seperti tanaman sayur dan ladang ayam tak cukup orang untuk bekerja.

“Apabila gaji minimum naik RM1500, maka kos bayar gaji sahaja meningkat sehingga 25 peratus. Sekarang ini satu bulan kita bayar lebih RM500 (berbanding gaji minimum termasuk elaun lebih masa) untuk seorang pekerja asing, jadi kalau setahun sudah RM6,000.

“Kalau pekerja ramai dan pengeluaran banyak, kos overhead kurang. Tetapi sekarang kos bahan mentah naik akibat nilai ringgit yang jatuh, gaji naik dan pengeluaran kurang. Memang menyulitkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hong Sing berharap apa sahaja dasar yang mahu dilaksanakan kerajaan mestilah mengambil kira kepentingan usahawan PKS.

Katanya, tindakan itu penting kerana apa sahaja langkah yang diambil untuk membantu PKS sama seperti membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Usahawan PKS sekarang perlukan pertumbuhan aliran tunai, maka kena banyakkan pengeluaran dan jual produk mereka.

“Jadi tak kira apa yang kerajaan mahu buat, mereka perlu fokus terhadap isu pekerja dan aliran tunai yang ketat terutamanya kepada usahawan mikro,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN