Mesyuarat khas bincang isu kenaikan kos umrah

Mesyuarat khas bincang isu kenaikan kos umrah

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kenaikan kos mengerjakan umrah akan dibincangkan melibatkan semua agensi kerajaan yang berkaitan dan wakil-wakil persatuan pengendali dalam tempoh terdekat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya akan menyelaraskan mesyuarat khas berkenaan.

“Untuk makluman, kementerian ini ada menerima pemakluman oleh persatuan berkaitan umrah mengenai kenaikan kos penerbangan yang perlu ditanggung oleh agensi umrah.

“Sehubungan dengan itu, kementerian akan menyelaras satu mesyuarat bersama pihak Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Malaysian Aviation Commission (MAVCOM) dan wakil-wakil Persatuan Pengendali Pelancongan Umrah dalam masa terdekat untuk membincangkan isu berkaitan termasuk kuota penerbangan bagi mengerjakan umrah,” katanya di sini, kelmarin.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia pada 17 September, yang memetik pendedahan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham tentang isu kenaikan kos mengerjakan umrah antaranya tambang kapal terbang.

Dalam laporan itu, Razali berkata, kos dan harga untuk menunaikan umrah dijangka terus meningkat ekoran kenaikan harga tiket penerbangan ke Asia Barat dan juga nilai mata wang riyal yang semakin tinggi ketika ini.

Malah katanya, harga tiket penerbangan naik mendadak dari RM2,600 ke RM3,800 menyebabkan kos yang ditawarkan kepada jemaah terpaksa dinaikkan daripada RM4,800 hingga kira-kira RM7,800.

Mengulas perkara itu, Nancy berkata, kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus untuk meneliti isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×