Buli doktor pelatih kritikal

Buli doktor pelatih kritikal

KEKURANGAN doktor pakar terutama di luar bandar tidak seimbang dengan jumlah pesakit. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gejala buli terhadap doktor pelatih di hospital kerajaan bukan sahaja terbukti berlaku tetapi trend tersebut dianggap kritikal sehingga telah membina persepsi negatif dalam perkhidmatan kesihatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, kejadian buli sudah menjadi seperti budaya dalam Kementerian Kesihatan membuatkan ramai doktor pelatih tertekan sehingga ada yang memilih me­ninggalkan profesion tersebut.

Menurut beliau, antara gejala buli yang kerap dilaporkan ialah doktor pelatih dimarahi di depan pesakit, tugasan banyak, dihalau keluar dari bilik pemeriksaan dan ugutan markah rendah yang mengganggu proses lantikan tetap.

BERI KESAN

“Untuk kes kematian melibatkan seorang doktor pelatih di Pulau Pinang, saya tidak mahu komen sebab ia merupakan kes polis. Namun, jika tanya tentang kes buli, saya akui ia memang berlaku dan sangat memberi kesan kepada doktor pelatih.

“Kesannya sangat teruk sehingga ada yang tinggalkan KKM, jadi sesuatu perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi mengelak perkara ini berlaku secara berterusan dan menjadi amalan biasa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan kira-kira 20 peratus daripada responden dalam kalangan staf Kementerian Kesihatan yang mengakui buli wujud dan menimbulkan persepsi negatif termasuk gejala buli ketika bertugas.

Semalam, Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF), Prof. Datuk Dr.Siti Hamisah Tapsir mendedahkan, insiden burnout atau keletihan yang teruk selain trend buli dan budaya kerja kurang sihat memang berlaku dalam sistem persekitaran kementerian ber­kenaan selama ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, laporan HWCITF bahawa 60 peratus responden kaji selidik menyatakan budaya kerja di kementerian terbabit adalah positif boleh dipertikaikan kerana dapatan kajian yang tidak realistik.

“Laporan yang dikeluarkan itu juga bercanggah dengan kajian yang kami lakukan yang rata-rata mengatakan budaya kerja dalam bidang (doktor pelatih) ini sangat toksik kerana adanya gejala buli yang kritikal.

“Kalau boleh pasukan petugas khas itu dedahkan siapa responden yang mereka ambil, adakah betul daripada kementerian sendiri. Perkara ini (gejala buli) perlu diakui kerana dapatan laporannya juga mengakui ada berlaku burnout atau keletihan yang teruk selain trend buli,” katanya.

Untuk rekod, isu buli dalam kalangan doktor pelatih dan kontrak ini pernah dikupas oleh Hartal Doktor Kontrak, yang melaporkan 60 peratus daripada 150 responden mengaku menghadapi tekanan akibat selalu dibuli oleh doktor senior. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN